Mengapa Dibiarkan Api Bernyala Dalam Sekam...???

on Apr 28, 2011



"Berdasarkan beberapa isu terkini, penulis melihat bahawa  ukhuwah  perlu dibajai agar PAS terus mantap dari atas sampai ke bawah. Ukhuwah bukan sekadar perlu dijaga. Ukhuwah perlu dibaja. Analoginya, pokok dijaga agar tidak dimakan oleh makhluk perosak. Pokok selamat tetapi belum tentu tumbuh subur dan menghasilkan buah. Pokok perlu diberi baja. Baja pembesaran, baja bunga atau baja buah-buahan. Barulah pokok itu selamat dan membesar mengikut kadar pertumbuhan yang sepatutnya. Tiba masanya, buahnya dapat dipetik. 

Tema di atas tak perlu diajar. Semua orang telah tahu hatta pelajar sekolah rendah sekalipun. Keperluan itu sudah menjadi ilmu bagi semua manusia yang waras. Namun, pelajar perlu mengulangkaji untuk mengingatinya. Manusia perlu bermuhasabah barulah sedar akan perjalanan jasmani dan rohaninya. Kalau malas bermuhasabah, elok juga sahabat terdekat memicit-micit urat belakangnya. Maka fungsi tulisan ini ialah untuk menjalankan kerja picit-memicit itu.
 Penulis tidak ingin membincangkan isu kerajaan perpaduan kerana isu itu sebenarnya telah tertutup rapat. Namun istilah itu akan terus hidup sampai bila-bila kerana ia adalah bahan sejarah. Sejarah tidak pernah mati. Ia akan terus diperkatakan. Kadang-kadang hari ini orang mempertikaikannya. Mungkin generasi akan datang menyanjungnya pula. Begitulah sebaliknya.

Fokus artikel ini merupakan satu usaha menjernihkan kembali keruh yang masih kelihatan melalui tulisan-tulisan yang terpapar di laman maya. Melalui pembacaan dan penelitian penulis, rasa amarah masih tidak kunjung padam di hati segelintir ahli dan blogger pro-PAS terhadap kelompok yang pernah lunak terhadap idea kerajaan perpaduan. Bermula dengan amukan Dr. Aziz Bari diikuti oleh respon dan ulasan pro- kontra, kita dapat baca apa yang tersirat di dalam hati sahabat-sahabat kita.

Penulis pernah menulis tentang peri pentingnya tasawuf dalam perjuangan yang tersiar melalui Harakah tak beberapa lama dahulu. Sebagai manusia yang dipilih oleh Allah untuk menyertai sebuah harakah Islamiyyah, kita semua sepatutnya bersyukur kerana telah menang. Menang dalam erti kata berjaya menepis tipu daya syaitan. Pejuang Islam berjaya mengenali yang mana benar dan yang mana palsu. Seterusnya, berjaya meletakkan diri dan berjuang bersama-sama kebenaran yang dituntut oleh agama.

Dalam menghadapi pembawa panji-panji Islam, syaitan tidak pernah duduk diam untuk mengharubirukan saf perjuangan Islam. Analoginya, syaitan yang ingin menghancurkan sesebuah keluarga, kalau tidak berjaya dicucuk jarumnya melalui si ayah, akan dicucuknya melalui si isteri. Kalau tak berjaya juga, dicucuk melalui anak-anak. Begitulah dalam jemaah ini. Kalau tak berjaya dicucuk melalui pemimpin, dicucuk melalui ahlinya, dicucuk para bloggernya hatta dicucuk melalui para penyokongnya.

Di sini penulis mengingatkan semua peringkat pemimpin, ahli dan penyokong PAS.  Dendam, benci-membenci, prejudis bukanlah asam garam pejuang Islam. Kerajaan perpaduan mungkin amat dibenci oleh sesetengah pihak.  Isunya telah tamat. Pihak yang mencetuskan idea dan menyokongnya tidak lagi mengusik isu itu. Pihak yang kontra juga tidak mengungkitnya lagi. Dr. Aziz Bari tidak mengamuk lagi atas isu itu. Namun, nada amarahnya dan bengis golongan anti-UG melalui tulisan mereka, menampakkan ada sesuatu di dalam hati yang belum selesai.

Yang tidak selesai itulah dinamakan dendam. Selagi tidak selesai, dendamlah namanya. kalau sudah selesai, bukan lagi bernama dendam. Penulis tidak berasa hairan mengapa ada dendam dalam dada penyokong perjuangan Islam. Penyokong belum tentu memahami dan menjiwai perwatakan sebagai pejuang Islam. Penyokong belum tentu mendapat tarbiyyah. Tetapi apabila pemimpin dan ahlinya tidak berjaya menepis amukan dendam,  penulis berasa amat hairan.

Apakah yang hendak dicari dan dikejar dalam perjuangan ini? Pangkat? Kedudukan? Kekayaan? Populariti? Kalau bukan itulah matlamatnya, buat apanya membiarkan hati dikuasai oleh perasaan dendam.  Apabila isu kerajaan perpaduan telah selesai, yang pro dan kontra tidak sewajarnya membiar api membara di dalam sekam.  Jangan diungkit-ungkit lagi terutama menjelang setiap kali muktamar. Kalau sentiasa diungkit, bilakah urusan  hati ini mahu selesai? Kita patut bertanya, “adakah Allah akan membantu perjuangan yang di isi oleh hati-hati yang belum selesai ini?”


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List