Tiada pilihan raya kecil Parlimen mulai esok, DUN masih ada masa

on Apr 28, 2011





KUALA LUMPUR, 28 April — Negara yang menyaksikan 16 pilihan raya kecil — jumlah yang sama dengan sepanjang tempoh 1986 hingga 1995 — tidak akan mengadakan pilihan raya kecil bagi peringkat Parlimen selepas hari ini melainkan jika ada keperluan 
khas untuk berbuat demikian.

Ini termasuklah kerusi Parlimen Batu, yang disandang PKR, yang statusnya menanti keputusan mahkamah rayuan.
Mengikut perundangan negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil melainkan jika ada keperluan khas.

“Selepas hari ini jika ada kekosongan, bagi kerusi Parlimen, tidak akan diadakan lagi pilihan raya kecil,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Tarikh Dewan Rakyat bersidang 28 April, jadi mengambil kira tarikh itu, bermakna jika ada kekosongan selepas hari ini, pilihan raya kecil tidak akan diadakan,” kata beliau.

“Jadi, jika berlaku kekosongan luar jangka, mengambil kira genap tiga tahun persidangan Dewan Rakyat, maka tidak akan ada pilihan raya kecil,” kata beliau sambil menyifatkan sebanyak 16 pilihan raya kecil dalam tempoh tiga tahun sebagai satu jumlah yang banyak dan menjadi “ruang latihan praktikal” kepada kakitangan SPR.

Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa satu-satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat mandat Parlimen. Mandat semasa kerajaan pusat akan berakhir April 2013.

Pilihan raya umum ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, Wan Ahmad berkata tempoh akhir bagi mengadakan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri adalah berbeza kerana kali pertama persidangan adalah berbeza mengikut negeri masing-masing.

“Mengikut maklumat yang ada, Pahang negeri terakhir mengadakan sidang pertama Dewan Undangan Negeri selepas pilihan raya umum, akhir bulan Mei.
“Jadi ada masa lagi masa untuk (diadakan) pilihan raya kecil (jika berlaku kekosongan luar jangka) bagi kebanyakan negeri dengan Pahang sehingga bulan Mei,” katanya lagi.
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang mengangkat sumpah pada 21 Mei 2008 — dua bulan selepas pilihan raya umum ke-12.

Daripada 16 pilihan raya kecil, kerusi-kerusi Parlimen yang menyaksikan pilihanr raya kecil ialah Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi.

Kecuali kerusi Hulu Selangor dan Batu Sapi, yang lain dimenangi Pakatan Rakyat (PR). Barisan Nasional (BN) merampas Hulu Selangor daripada PR manakala PR pula menawan Kuala Terengganu dimenangi BN pada 2008.

Kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri yang menyaksikan pilihan raya kecil ialah Bukit Selambau, Batang Ai, Penanti, Manek Urai, Permatang Pasir, Bagan Pinang, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Untuk mengadakan 16 pilihan raya kecil, kerajaan telah menanggung kos lebih RM11 juta.

Mengikut maklumat diberikan di Dewan Rakyat akhir bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Permatang Pauh menelan  kos  RM409,000, Kuala Terengganu (RM325,416), Bukit Gantang (RM460,971), Bukit Selambau (RM318,000), Batang Ai (RM391,700), Penanti (RM514,600), Manik Urai (RM548,003), Permatang Pasir (RM461,367), Bagan Pinang (RM449,485), Hulu Selangor (RM1.2 juta), Sibu (RM1 juta), Batu Sapi (RM1.29 juta), Galas (RM1.05 juta), Tenang (RM1.1 juta), Merlimau (RM755,000) dan Kerdau (RM915,000).

Katanya, kerajaan tidak bercadang untuk menggunakan kaedah lain bagi menggantikan pilihan raya kecil kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya Kecil 1958.

Menurut Wan Ahmad, kos itu hanya membabitkan pihak SPR tanpa mengambil kira perbelanjaan oleh agensi-agensi lain seperti polis.
Mengikut rekod, negara menyaksikan 16 pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ketujuh dan tiga bulan sebelum pilihan raya umum kelapan pada November 1990.
Malah, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan antara tempoh selepas pilihan raya umum 1990 menjelang pilihan raya umum April 1995.

Pun begitu negara pernah berhadapan dengan 17 pilihan raya kecil — jumlah tertinggi sejak awal 1980-an — yang diadakan sepanjang tempoh selepas pilihan raya umum 1995 dan sebelum pilihan raya umum 1999.
Kini tiga kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Seputeh, Pelabuhan Klang dan Lenggeng menunggu keputusan mahkamah rayuan.

Bagaimanapun pemerhati dan penganalis melihat kemungkinan tidak akan ada pilihan raya kecil membabitkan ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri itu dan kawasan Parlimen kerana ia boleh melalui peringkat rayuan lebih tinggi selepas ini.


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List