SUPP 'desperate' - Mungin kah BN Sarawak akan mengalami apa yang dialami oleh Parti Berjaya?
Di dalam pilihanraya Sarawak, pengundi Cina menjadi pengundi penting untuk kedua-dua belah pihak. Sejak 3 tahun yang lepas orang Cina telah menunjukan kecenderungan untuk menyokong parti alternatif dan telah dibuktikan mereka di dalam kesemua pilihanraya-pilihanraya kecil sejak 2 tahun yang lalu. Di dalam piliharaya Sarawak kali ini SUPP yang menjadi badan politik mewakili kaum Cina di Sarawak merasakan kepanasannya kerana kecenderungan orang Cina Sarawak untuk mengundi parti Alternatif mereka, DAP.
DAP yang telah pun menunjukan kemampuan untuk memerintah di Pulau Pinang dan juga memerintah bersama parti komponennya di empat negeri yang lain telah menunjukan kemampuan untuk menarik sokongan orang Cina di dalam pilihanraya Sarawak kali ini.
“Panas! Panas!” kata seorang sahabat saya dari Miri yang sudah kembali ke Sarawk untuk mengundi esok hari. “Sekarang SUPP terpaksa melakukan gertak menggertak terhadap pengundi Cina dan ini menunjukan yang mereka sudah desperate” kata Low yang sudah membayangkan kepada saya beliau akan berubah kali ini dan mengundi DAP atau mana-mana parti alternatif.
Apa yang dikatakan oleh Low ternyata benar dengan apa yang berlaku di satu kawasan DUN, Dudong dimana Tiong Thai King, Naib Presiden SUPP telah menggertak pengundi Cina dengan mengatakan yang UMNO akan masuk ke Sarawak jika BN Sarawak hilang kuasa 2/3 dalam pilihanraya ini. Selama ini UMNO gagal untuk bertapak di Sarawak kerana BN Sarawak kuat. “Kalau kita tidak mahu UMNO BN mesti menang 2/3” kata Tiong dalam kempennya.
Tindakan ini nyata tindakan ‘derperate’ seperti yang dikatakan oleh sahabat saya Low dari Miri itu. Kenapa pemimpin sebuah parti komponen bertindak membenihkan perasaan benci terhadap UMNO di kalangan orang Cina sedangkan UMNO adalah tunjang belakang kepada BN?
Yang lebih ‘gila’ lagi Tiong mengingatkan pengundi Cina, jika SUPP tidak diwakili di dalam kerajaan negeri lagi, maka MCA dan Gerakkan akan masuk dan mengambil tempat di Sarawak. Tiong menggunakan apa sahaja cara walaupun terpaksa bercakap melakukan ‘sabotage’ terhadap parti komponennya sendiri. Menaikan isu dan sentimen perkauman merupakan cara SUPP untuk menyelamatkan parti itu dari ditolak oleh pengundi khususnya parti SUPP.
Kenapa perkara seperti ini berlaku? Tidak lain dan tidak bukan ianya adalah disebabkan tiada cara lain bagi SUPP untuk mendapat sokongan kaumnya. Parti itu terpaksa main kotor terhadap komponennya sendiri semata-mata untuk nampak relevan kepada kepada kaum Cina di Sarawak.
Mengikut berita terakhir ini, PR telah berjaya membawa aura perubahan lebih-lebih lagi di hari yang terakhir ini. BN sedang menghadapi dugaan yang terbesar yang belum pernah di alami oleh Sarawak sejak mencapai kemerdekaan dalam Malaysia sejak 1963 dahulu.
Sekarang ramai pemerhati politik sedang tertanya-tanya dan tertunggu-tunggu; adakah BN Sarawak akan menerima nasib parti Berjaya di Sabah pada tahun 1985 dahulu? Di Sabah semasa itu ramai di antara pemimpin-pemimpinnya telah menubuhkan PBS secara tergesa-gesa parti PBS untuk menumbangkan Berjaya pimpinan Harris Salleh dalam pilihanraya negeri itu.
Gerakan perubahan telah berlaku begitu kuat sehinggakan Harris Salleh sendiri telah kecundang kepada Kadoh Agundong di Tenom dengan majoriti yang agak besar. Walaupun Dr Mahathir secara terbuka dan ‘decisive’ telah memberikan sokongan kepada Berjaya, parti itu tetap kecundang di tangan parti baru, PBS pimpinan Pairin Kitingan.
Rakyat Sabah tetap tidak berganjak pendirian menentang Berjaya walaupun Dr Mahathir telah berikrar untuk berenang dan tenggelam bersama Berjaya. Seperti biasa Dr Mahathir membiarkan sahaja Berjaya hanyut dan tenggelam dan beliau berenang bersama PBS sehinggalah PBS keluar dari BN pada tahun 1990 dahulu.
Jika dibuat penelitian yang halus di dalam pilihanraya negeri Sarawak ini keadaannya tidak memustahilkan apa yang terjadi kepada Berjaya akan juga terjadi kepada BN pimpinan Taib Mahmud.
Kita tunggu sahaja berita itu besok malam. SPR telah berjanji yang semua keputusan pengundian akan diketahui sebelum tengah malam.
Aspan Alias
0 comments:
Post a Comment