Setelah menulis dan menyiarkan bermacam tuduhan dan apa yang disebut ramai sebagai 'pendedahan' membabitkan orang-orang kenamaan, pegawai awam dan tokoh politik, sekarang dia muncul melalui satu temubual stesen tv Media Prima, TV3.
Dulu ceritanya lain, sekarang dah berputar 360 darjah. Itulah 'pendedahan' penulis dan pemilik blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin.
Antara tokoh yang menjadi 'mangsanya' adalah PM Najib Tun Razak dan isteri, mantan PM Abdullah Ahmad, Tengku Razaleigh Hamzah dan IGP Musa Hassan.
Namanya mula dikenali ramai melalui kempen 'Free Anwar' dan dia sememangnya diketahui sebagai penyokong kuat Anwar Ibrahim. Dia sanggup masuk penjara kerana Anwar. Begitulah semangat juang yang berada pada manusia bernama Raja Petra.
Dia menjadi buruan polis dan berjaya melarikan diri ke luar negara, dengan bantuan orang tertentu, untuk menetap di kota raya London. Dari ibu negara Inggeris itu, dia meneruskan 'perjuangan' dengan menyiarkan penulisan-penulisan yang tidak berani disiarkan oleh media arus perdana. Blognya terus popular bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia tetapi di Barat, Timur, Utara dan Selatan dunia.
Cucu mantan Gabenor pertama, sekarang digelar Yang Dipertua Negeri, Pulau Pinang yang bangga dengan darah Bugis, walaupun bercampur darah Inggeris, memang seorang 'blogger' yang popular. Itu tidak boleh dinafikan kerana pembaca atau mereka yang melayari atau melungsuri Internet, amat gemar membaca bahan-bahan seperti yang terkandung dalam blog Malaysia Today.
Tiba-tiba dia mengejutkan kita dengan beralih pandangan 360 darjah berkaitan beberapa isu besar dan menggemparkan yang didedahkannya melalui blog Malaysia Today.
Semuanya didedahkan dalam satu wawancara dengan TV3 di Perth, Australia yang boleh diikuti melalui banyak laman blog dan laman sesawang TV3.
Apakah wawancara itu satu kebetulan atau sebenarnya diatur sedemikian rupa untuk tujuan-tujuan tertentu bukan persoalannya kerana umum boleh meneka jawapannya.
Yang pasti dan nyata, selama ini kita telah dipersenda dan dihidangkan dengan pembohongan demi pembohongan berkaitan isu-isu besar termasuk pembunuhan Altantuya. Malahan, pendedahan terkini oleh Raja Petra dengan cepat dinafikan oleh beberapa pihak yang dinamakannya.
Apa yang dinyatakan olehnya sudah tentu mendapat liputan meluas dan di muka depan akhbar-akhbar arus perdana. Itu adalah sesuatu yang biasa.
Selepas ini, ramai yang akan bertanya sama ada manusia bernama Raja Petra Raja Kamaruddin ini boleh dipercayai atau tidak. Sudah tentu tidak kerana kita tidak mahu dibohongi lagi dengan kepalsuan.
Oh ya, besar kemungkinan Raja Petra teramat sangat merindui bumi bertuah bernama Malaysia yang ditinggalkannya secara sulit... Adalah sesuatu yang bukan ajaib jika dia diberi pengampunan dan dibenarkan pulang ke tanah air setelah membuat 'pengakuan' berani di Perth. PM Najib dah pun lega dengan apa yang dinyatakan olehnya dan IGP pun nak siasat 'maklumat' tersebut.
Apa nak dikata, dulu lain, sekarang lain.
Apa nak dikata, dulu lain, sekarang lain.
0 comments:
Post a Comment