Generasi muda Sarawak, yang dibelenggu dengan pelbagai masalah dan isu, menjadi penentu perubahan dalam tampuk pimpinan negeri pada pilihan raya negeri (PRN) di mana hari mengundi ialah esok.
Pengarah Biro Mahasiswa, Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, di Bumi Kenyalang pada ketika ini terdapat seramai 300,000 orang yang digolongkan sebagai generasi muda yang berdaftar sebagai pengundi.
“Mereka menjadi penentu kepada perubahan negeri Sarawak dalam PRN pada kali ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha AMK berkata, masalah utama ialah pendidikan dan peluang pekerjaan dan masalah-masalah ini hanya dapat diselesaikan melalui proses demokrasi dan perubahan tampuk kepimpinan negeri.
“Kemudahan asas sekolah berada dalam keadaan uzur dan tidak mencukupi untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PNP) terutama di kawasan pinggir bandar dan luar bandar di Sarawak. Faktor ini akhirnya menyebabkan keciciran di kalangan pelajar tinggi di Sarawak,” katanya.
Saifuddin berkata, “bagi golongan muda yang ingin menyambung pengajian tinggi terpaksa merantau ke Semenanjung kerana kekurangan tempat untuk menyambung pengajian di Sarawak selain Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Teknologi Mara.
Kadar pengangguran tinggi
Menurutnya, masalah kedua yang menjadi isu penting kepada golongan muda di Sarawak adalah masalah pekerjaan. Seramai 200 000 di rekodkan berhijrah ke Semenanjung terutama di Johor Bharu, Lembah Klang dan Singapura kerana masalah pengangguran yang tinggi.
Seramai 200,000 orang yang terpaksa berhijrah dari bumi Sarawak ini adalah terdiri daripada golongan muda yang sukar mendapat pekerjaan.
“Keadaan ini diburukkan lagi dengan ‘keciciran’ pendidikan dan politik sempit Barisan Nasional yang mengakibatkan generasi muda ini sukar mendapat tempat di alam pekerjaan,” terang beliau.
Ujar beliau, “jika mendapat perkerjaan sekalipun, 48 peratus daripada golongan pekerja rakyat Sarawak adalah berpendapatan RM750 dan kebawah.
“Dengan desakan sara hidup yang tinggi, maka adalah mustahil untuk generasi muda dapat hidup dengan hanya bergaji sebanyak ini,” jelas beliau.
Menurut beliau lagi, generasi muda Sarawak telah matang di dalam menilai sosio-politik masyarakat di Sarawak. Penyelesaian kepada permasalahan yang membelenggu generasi muda hanya dapat diatasi jika generasi mudanya berani melakukan perubahan.
“Perubahan politik tidak bermaksud merebut jawatan atau kerusi semata-mata, tetapi perubahan secara politik bakal menentukan dasar negeri Sarawak bagi menjamin masa depan generasi muda sebagai pewaris negara.
Pakatan Rakyat memberi jaminan di dalam manifesto pilihan raya negeri dan Buku Jingga untuk melakukan penambahbaikan tatakelola pentadbiran negeri. Kekayaan negeri akan diagihkan kepada rakyat. Hasil negeri adalah milik rakyat.
“Undi generasi muda seramai 300,000 orang ini kepada Pakatan Rakyat bererti undi untuk masa depan yang lebih cerah,” ujar beliau.
0 comments:
Post a Comment