Perasaan takut boleh hilang sebentar dengan berbagai-bagai cara

on Dec 7, 2011







Ada dua orang pembaca setia saya menulis kepada saya untuk saya memberikan komen terhadap cara PM Najib bercakap dengan menjerit dan bertempik di dalam mana-mana majlis kempen beliau. Saya tidak berminat untuk mengomennya kerana dah stail beliau suka bertempik dan menjerit apa yang saya dapat katakan?

Tetapi saya hanya hendak membuat satu cerita semasa saya membesar di kampung saya yang jauh dipedalaman semasa itu. Sekarang kampung saya sudah tidak jauh kepedalaman lagi, malah boleh menembusi perjalanan ke Jelebu, Bahau dan Kuala Pilah dengan senang.

Alhamdulillah, anak-anak kampung saya semuanya ingat kepada jasa ibu bapa yang membesarkan mereka dan semua mereka membantu ibu bapa mereka di kampung yang kesemuanya telah tua-tua belaka. Tidak ada orang-orang tua yang terbiar kerana anak-anak mereka semuanya membela nasib ibu bapa mereka yang sudah uzur. Alhamdulillah.

Tetapi semasa awal enam puluhan dahulu kami sangat jauh dari dunia luar. Api letrik belum sampai ke kampung saya. Jalanraya pun baru tahun ‘67 baru di bina. Sebelum itu kami hidup dalam kegelapan. Cerita saya ini hanya boleh di fahami dengan mudah oleh orang yang hidup di zaman itu dan mempunyai keadaan di kampung mereka yang sama dengan keadaan kampung saya.

Walaupun tidak ada letrik kami berkemampuan berjalan dalam kegelapan kerana sudah biasa dengan keadaan itu. Kehidupan kami seperti biasa. Kalau nak ke surau pun boleh berjalan dalam gelap. Alhamdulillah kami sampai ke mana-mana yang hendak kami tuju. Perasaan takut tidak ada dalam kamus kehidupan kami walaupun perasaan itu datang sekali sekali semasa berjalan di dalam gelap itu.

Kadangkala bila berjalan kesaorangan di dalam gelap itu ada juga perasaan takut itu datang. Takut kerana ada orang berkata hantu selalu ada di sekian-sekian tempat. Apabila sampai ketempat itu datang juga rasa takut itu. Jadi untuk menghilangkan takut itu masing-masing akan berbuat macam-macam untuk menghilangkan ketakutan itu.

Ada yang menyanyi dengan sekuat hati. Yang tua-tua menyanyikan lagi S Effendi sekuat hati. Yang muda-muda menyanyikan lagi Ahmad Jais dan Rafeag Buang. Ada yang nyanyi lagu Mat Sentul dengan sekuat hati. Semuanya itu adalah untuk menghilangkan rasa takut dan untuk meyakinkan diri sendiri yang mereka berada di dalam keadaan selamat dan tidak merbahaya.

Selain dari menyanyi ada pula membakar mercun untuk menghilangkan rasa takut. Mercun memberikan bunyi yang sangat kuat dan itu adalah cara yang paling senang untuk menghilangkan rasa takut itu. Saya mengalami segala-galanya ini kerana saya hidup di kampung yang agak jauh ke pedalaman semasa itu.

Jadi saya berharap kedua-dua orang yang bertanya kepada saya sudah mendapat jawapan kenapa seseorang itu bertempik atau bercakap dengan kuat. Jika itu yang berlaku di dalam perhimpunan agong UMNO yang baru lepas itu, saya yakin ada orang yang sedang merasakan ketakutan. Siapa orangnya saya tidak tahu. Kenapa mereka takut sehingga bercakap sekuat hati itu, tidak juga saya tahu.

Tetapi yang pasti pemimpin itu mesti ada yang dia takutkan. Kalau hendak tahu apa yang beliau takutkan tanyalah beliau sendiri. Saya takut hendak bertanya nanti kena tempik pula. Saya pun ada perasaan takut sikit-sikit.

Anyway, that’s not an issue.


sumber :-  ASPAN ALIAS


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List