PADA Perhimpunan Agung Umno yang baru sahaja selesai Sabtu lalu, ramai yang bertanya atau memperkatakan tentang persoalan apakah wajar calon-calon pilihan raya umum dikenalpasti dan diumumkan lebih awal daripada biasa.
Misalnya, seorang pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian berkata, langkah itu jika diterima pakai akan membolehkan rakyat mengenali lebih awal dan menilai calon yang dipertaruhkan oleh parti-parti politik bagi mewakili kawasan mereka.
"...bagi Barisan Nasional misalnya, ini akan membolehkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat maklum balas mengenai tahap kebolehan 'winnable candidate' (calon boleh menang) itu pada pilihan raya nanti," katanya.
Menurut Sivamurugan, calon boleh menang bukan sekadar harus diterima oleh parti masing-masing, tetapi yang lebih utama diterima oleh rakyat.
Pada pandangan beliau, pengumuman awal akan dapat mengatasi budaya "mencantas" dalam politik kerana langkah itu membuka ruang untuk rundingan. Saranan ini disahut oleh Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang berpandangan pucuk pimpinan boleh memilih sekurang-kurangnya dua calon boleh menang bagi setiap kawasan untuk diketengahkan.
Selepas itu katanya, jentera parti boleh melakukan penilaian awal siapa paling digemari rakyat dan mempunyai peluang untuk memenangi kerusi yang ditandingi.
"Apabila nama mereka (bakal calon) diumumkan awal, rakyat boleh menilai mereka dan akhirnya seorang yang terpilih sebagai calon itu sememangnya telah mempunyai rating yang tinggi untuk menang," kata beliau lagi. Selain itu, kata Mukhriz, pucuk pimpinan juga boleh mendapat maklum balas lebih awal jika terdapat unsur-unsur sabotaj, sekali gus mempunyai masa untuk membaiki keadaan.
Beliau juga setuju dengan pandangan bahawa mengumumkan nama calon dengan lebih awal memberi lebih banyak masa kepada calon berkenaan bekerja untuk membuktikan kebolehannya.
BAIK & BURUK
Jadi mari kita lihat baik buruknya mengumumkan nama calon lebih awal;
Positif:
1). Baik untuk rakyat untuk mengenali dengan lebih awal dan dekat siapa yang bakal mereka pilih;
2). Tidak akan berlaku unsur sabotaj dalaman kerana tidak wujud ruang masa yang terhad yang diperlukan untuk mensabotaj parti.
3). Satu pendekatan baru yang tidak pernah dilakukan dalam sistem pilihan raya negara ini dan parti yang sanggup melakukannya mungkin akan disokong oleh pengundi kerana dilihat bersedia mengambil pendekatan terbuka dan baru.
4). Parti dapat maklum balas awal tentang calon mereka dan ini memudahkan persiapan jentera dan strategi kempen.
5). Calon punya masa yang diperlukan untuk membuat persediaan dan bekerja ke arah kemenangan parti masing-masing.
Negatif:
1). Menamakan calon jauh lebih awal memberi indikasi bahawa pilihan raya sudah dekat dan dengan itu pihak yang memerintah akan kehilangan unsur-unsur kejutan yang diperlukan untuk menang.
2). Namun begitu pada masa yang sama, timbul juga persoalan, selama manakah calon-calon ini perlu ‘bekerja’ dan ‘berkempen’ kerana tiada kepastian lagi bilakah pilihan raya umum akan diadakan.
3). Tidak sepertimana amalan sekarang, berapa ramaikah nama calon yang perlu diketengahkan? Seorang, dua, tiga atau empat calon sebelum calon sebenar dimuktamadkan. Ini mungkin menimbulkan isu besar kepada parti.
4). Timbul persoalan tentang soal perbelanjaan yang diperlukan oleh calon-calon ini untuk ‘bekerja’ dari tarikh mereka diumumkan sebagai calon sehingga ke waktu berkempen yang sebenarnya iaitu selepas dewan dibubarkan. Ini juga satu masalah besar kepada parti.
5). Menamakan calon lebih awal membuka ruang kepada lawan untuk mencari kelemahan calon dan melakukan ‘serangan politik’.
BERANI
Satu-satunya pertubuhan yang berani bertindak mengumumkan nama calon mereka lebih awal ialah Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia atau MCLM yang diterajui oleh Haris Ibrahim.
Mereka setakat ini telah mengumumkan nama empat orang bakal calon pada pilihan raya umum ke-13 nanti iaitu dua orang peguam dan dua orang aktivis sosial.
Aktivis sosial itu ialah seorang jurunilai bertauliah wanita dan seorang doktor gigi. Mereka ialah bekas presiden Persatuan Tindakan Wanita atau All Women's Action Society, Haslinah Yacob dan Dr Nedunchelian Vengu.
Haslinah, 49, seorang jurunilai bertauliah telah bergerak aktif sebagai pejuang suara wanita sejak 10 tahun lalu. Sementara Dr Nedunchelian, 42, pernah berkhidmat sebagai aktivis Persatuan Doktor-Doktor Pergigian Swasta selama tiga penggal.
Dua orang peguam yang akan bertanding atas tiket MCLM ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Hak-Hak Asasi Manusia atau National Human Rights Society, Malik Imtiaz Sarwar dan peguam hak asasi, Sreekant Pillai.
Tetapi MCLM bukanlah sebuah parti politik dan oleh yang demikian tidak jelas atas bendera apakah nanti mereka akan masuk bertanding - sama ada tiket Bebas atau tumpang nama dan bendera parti lain.
Yang kita hendak lihat ialah adakah mana-mana parti politik berani membuat pembaharuan pendekatan dalam isu penamaan calon. Dan selepas mengambil kira semua faktor yang penulis senaraikan tadi, percayalah, tidak ada mana-mana parti politik yang sanggup berbuat demikian.
M/star
0 comments:
Post a Comment