Orang Muda Tetap Menolak Najib

on Oct 7, 2012






Cubaan Najib untuk memikat hati pengundi muda nampaknya tetap melalui jalan buntu. Dalam Bajet 2013, beliau memperkenalkan BR1M 2.0 yang memperuntukkan habuan sebanyak RM250 untuk orang bujang berusia antara 21 hingga 30 tahun yang berpendapatan RM2000 ke bawah, selain memperkenalkan rebet RM200 untuk mereka memiliki telefon pintar.

Pemberian itu disambut dingin oleh majoriti orang muda. Berbanding gejala rasuah, skandal dan penyelewengan yang terus berleluasa, habuan RM 200 dan RM250 itu langsung tidak mengocak iman mereka. Lagi pula, berbanding PR yang menawarkan penurunan harga kereta, pinjaman PTPTTM dihapuskan dan sebuah kerajaan yang lebih telus dan terurus, ia ternyata jauh lebih menarik hati golongan muda.

Sebab itu, walaupun bajet ini kali dianggap terbaik oleh UMNO, rakyat dan anak muda umumnya hanya berbicara sehari dua saja mengenainya. Selain tiada pembaharuan dan arah tuju yang jelas, bajet kali ini hanya dipenuhi pemberian tunai yang minta dibalas dengan undi dalam pilihanraya sahaja. Selebihnya kosong.

Dengan hasrat untuk berinteraksi dengan golongan muda yang menguasai dunia maya, Najib juga cuba meniru pendekatan Anwar dengan tampil melalui Google Hangout dalam program #tanyanajib pada 3 Oktober lalu dengan tujuan mempromosi segala macam "goodies" yang diagih-agihkannya bak Santa Claus itu.

Namun agak malang juga, soalan-soalan yang diajukan dalam program itu akhirnya dijadikan medan bahan jenaka dan mempersenda beliau. Lebih banyak soalan menyindir, mempersenda, memperlekeh malah mempermain-mainkan Perdana Menteri berbanding soalan yang berkaitan dengan bajet, walaupun ia agak hebat dipromosi sebelumnya. Isteri beliau, Rosmah Mansor juga turut dijadikan bahan jenaka dalam soalan yang dikemukakan anak-anak muda.

Ketika rakamannya disiarkan di Youtube pula, dalam tempoh sekejap saja penonton yang tidak suka atau dislike melonjak begitu tinggi berbanding mereka yang suka atau like. Direkodkan sebanyak 1,400 dislike berbanding 104 like dalam tempoh singkat sehingga akhirnya menyebabkan rakaman itu "diprivatekan" untuk mengelakkan lebih banyak timbunan dislike daripada penonton yang tentunya terdiri daripada anak-anak muda.

Video Najib itu bagaimanapun kemudiannya disiarkan pula dalam web astroawani dan sehingga kini penonton yang dislike sudah melebihi 10,000 berbanding hanya 1000 lebih yang like.

Hakikat in memperlihatkan bahawa Najib sebenarnya ditolak mentah-mentah oleh majoriti anak muda. Pemberian goodies atau gula-gula pilihanraya langsung tidak memikat hati anak muda kerana bukan itu yang dimahukan oleh mereka daripada sebuah kerajaan dan dari seorang Perdana Menteri.

Jika sekadar duit tunai RM200 atau RM250, anak-anak muda sebenarnya boleh memperolehinya dengan meminta daripada ibu bapa masing-masing atau melakukan kerja sambilan di KFC atau Mc Donalds pada hujung minggu. Daripada sebuah kerajaan, pengharapan anak-anak muda lebih daripada itu.

Mereka tentunya mengharapkan kerajaan dan pemimpin yang baik, mengutamakan rakyat dan peka kepada keperluan mereka seperti pendidikan, pengangkutan, pekerjaan, kesihatan, perumahan dan sebagainya. Dan mereka juga mahukan kerajaan yang bebas dari skandal, rasuah, penyelewengan serta elemen membolot kekayaan peribadi di kalangan pemimpinnya.

Tetapi Najib dengan memberi tunai sebanyak itu, dalam masa yang sama gagal mewujudkan kerajaan yang benar-benar diyakini serta kelompok pemimpin yang bersih moralnya. Bahkan beliau juga gagal mencontohkan diri dan keluarganya sebagai idola yang boleh dijadikan ikutan serta teladan.

Meskipun sebelum ini dalam beberapa program yang melibatkan anak-anak muda, mereka dilihat memberi sokongan dengan kehadiran yang ramai tetapi sebenarnya kehadiran itu bukan untuk Najib. Ia mungkin hanya untuk UMNO dan kerajaan sahaja. Dan mungkin juga kehadiran dalam beberapa program sebelum ini adalah sekadar pengisian masa lapang saja.

Ramai anak muda sebenarnya tidak suka dengan cara kepimpinan Najib yang penuh retorik, bergaya mewah, tidak tegas serta kurang keberanian dalam menghadapi isu yang melanda negara. Selain anak-anak muda yang sebahagian besarnya tetap menolak UMNO dan kerajaan yang ada, sebahagian lagi mungkin hanya menerima UMNO atas sebab-sebab nostalgia namun tidak rela negara ini terus dipimpin oleh Najib selepas pilihanraya ini.

Bagi anak muda, dengan menyatakan penentangan secara terbuka kepada kepimpinan Najib, ia adalah pembuka lembaran kepada perubahan sistem baru politik negara ini. Ramai kalangan anak muda yang merasakan negara ini akan menjadi lebih malap sekiranya ia terus dikuasai oleh UMNO. Lebih gelita jika Najib terus kekal sebagai PM. Menolak UMNO dan Najib hanyalah untuk merubah sistem politik yang ada dan menandakan bermulanya sistem dua parti yang dilihat amat praktikal demi kebaikan semua orang.

Dengan menumbangkan Najib dan UMNO dan menjadikan PR kerajaan baru selepss pilihanraya akan datang, rakyat akan dapat menilai perbezaan antara BN dan PR. Jika selepas lima tahun, PR gagal berfungsi dengan baik dan tidak menunaikan janji-janjinya, PR dengan mudah boleh dijatuhkan dan digantikan dengan BN semula.

Permulaan kepada sistem kerajaan yang boleh bertukar ganti itu hanya mungkin dapat dilakukan jika UMNO ditumbangkan terlebih dahulu. Tanpa UMNO dan BN ditumbangkan, ia mustahil dilakukan atau mungkin memerlukan 50 tahun akan datang lagi untuk melakukannya.

Anak muda secara umumnya menguasai lebih 40 peratus daripada pengundi berdaftar dan dilihat paling aktif. Gambaran penolakan anak muda yang dipamerkan terhadap Najib dalam program Google Hangout serta terhadap gula-gula pilihanraya dalam Bajet 2013 adalah sesuatu yang baik untuk negara dan kita semua.

Penolakan itu bukan saja harus sentiasa dipertingkatkan, malah seharusnya diraikan juga.


Shahbudin Husin
Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List