Antara Azmin Ali, Wan Azizah dan Anwar Ibrahim

on Nov 19, 2010

Sekitar tahun 1996 Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah pergi bertemu Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali (kini bergelar Tun). Berlangsunglah satu pertemuan ringkas di antara isteri Perdana Menteri Mahathir Mohamed dengan isteri Timbalan Perdana Menteri – Anwar Ibrahim.
.
Pertemuan antara seorang doktor pakar mata dengan doktor perubatan biasa itu tidak mengambil masa yang panjang untuk menyerlahkan agenda utamanya.
.
DSWA telah mengadap DS Dr. Hasmah Mohd Ali untuk meminta jasa baik beliau agar mempengaruhi suami beliau Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad menarik balik Azmin Ali daripada menjadi Setiausaha Sulit kepada Anwar Ibrahim.
.
Aduh, besar sungguh agenda pertemuan itu kerana sudah tentu ada sebab tertentu kenapa Wan Azizah mahukan Azmin dikeluarkan daripada pejabat suaminya.
.
Tentulah ketika itu belum terlintas lagi di kepala Wan Azizah bahawa satu ketika selepas itu Azmin Ali akan mengeluarkan surat akuan yang dia diliwat oleh Anwar Ibrahim.
.
Kenapakah Wan Azizah bertindak demikian? Apakah salah Azmin Ali? Adakah kerana Azmin menjalankan tugasnya dengan tekun sehinggakan Wan Azizah sukar menemui suaminya bila dia mahu?
.
Sebagai seorang isteri tentu Wan Azizah mempunyai sebab dan alasan besar kenapa dia mahu Azmin Ali disingkirkan daripada pejabat Anwar Ibrahim. Tidak mungkin dia bertindak demikian atas hasutan orang-orang tertentu yang mengatakan A zmin tidak baik. Wan Azizah bukannya calang-calang wanita. Beliau adalah seorang professional yang mendapat ijazah terbaik dan ‘citation di universitinya di luar negara.
.
Jawapan sebenar ialah kerana Wan Azizah sudah semakin resah kerana melihatkan pembabitan isteri Azmin Ali mendampingi Anwar Ibrahim.
.
Kalau ada gambar lama sekitar 1976-1977, lihatlah rakaman majlis yang dihadiri oleh Anwar Ibrahim, kadangkala kita boleh lihat Shamsidar isteri Azmin Ali duduk di sebelah Anwar Ibrahim.
.
Pernah sebelum itu dan sekarang ini kita melihat isteri Setiausaha Sulit seseorang menteri duduk di sebelah menterinya? Kecuali si isteri itu terbabit dengan peranan besar dalam sesuatu majlis memang sukar kita melihat isteri si Setiausaha Sulit berbuat demikian.
.
Dengan lain perkataan, kehadiran Shamsidar, isteri Azmin Ali sudah menjadi duri dalam daging Wan Azizah. Ini juga merupakan punca keretakan rumah tangga mereka. Tetapi sebagai seorang isteri yang penuh bertaqwa, Wan Azizah memilih jalan senyap dan baik merayu kepada Dr. Siti Hasmah agar Azmin Ali ditukarkan daripada pejabat suaminya.
.
Kisah kehadiran Shamsidar di majlis yang dihadiri oleh Anwar Ibrahim sudah menjadi satu cerita hangat yang dimainkan oleh media satu ketika dahulu gara-gara surat Umi Hafilda Ali kepada Perdana Menteri yang menuduh Shamsidar melakukan kerja sumbang dengan Anwar Ibrahim. Daripada situ muncul satu teka-teki apakah anak Shamsidar itu sebenarnya berbapakan Anwar Ibrahim ataupun Azmin Ali.
.
Sudah tentu ini memerlukan ujian DNA yang akhirnya membuat keputusan bahawa anak perempuan itu memang sah anak Azmin Ali dan Shamsidar.
.
Soalnya sekarang bagaimanakah Anwar Ibrahim boleh merestui kehadiran Shamsidar dalam majlis yang dihadirinya? Apakah Anwar Ibrahim tidak ada pertimbangan bahawa insiden begitu akan membuat desas-desus dan teka-teki yang tidak ada putusnya? Ataupun mungkin Anwar Ibrahim sedar akan perkara itu dan tidak mahu perkara itu berulang lagi. Tetapi nampaknya permintaan Anwar Ibrahim itu diveto oleh Azmin Ali. Shamsidar tidak mungkin dapat menghadiri sesuatu majlis melibatkan Anwar tanpa restu dan izin Azmin Ali, suaminya.
.
Kisah Shamsidar dan Azmin Ali menjadi semakin bercelaru apabila Azmin membuat surat akuan (Affidavit) bahawa dia pun turut diliwat oleh Anwar Ibrahim. Ketika itu sudah muncul kisah Kasumatmaja, Azizan Abu Bakar dan Dr Anwar Anees.
.
Pada waktu yang sama pula gelombang pertama rakyat marhaen telah bergolak untuk melahirkan Parti Keadilan pimpinan Wan Azizah. Banyak nama lain yang muncul dengan gelombang itu – Ezam Mohd Nor, Lokman Adam, Roslan Kassim, Chandra Muzaffar, Mustaffa Kamil Ayub, Raja Petra, adalah sekadar segelintir nama yang menonjol. Tetapi yang amat besar peranan telah dilakukan oleh golongan elitis muda-mudi Malaysia tidak kira apa kaumnya serta beberapa pertubuhan bukan-kerajaan (NGO) dan golongan veteran politik yang sudah lama bersara. Gabungan tiga golongan besar yang berbeza ini telah melahirkan satu gelombang marhaen yang bangkit memperjuangkan penderitaan Anwar Ibrahim sekali gus melakar kejatuhan dinasti Mahathir Mohammad.
.
Saya ingin ulang sekali lagi, kejatuhan Anwar Ibrahim dalam PKR, jika berlaku, akan menghenyak sekali lagi Mahathir Mohamed. Kerana Azmin Ali adalah proksi Mahathir Mohamed dalam PKR.
.
Kita dapat lihat apa yang dibuat oleh Mahathir Mohamed sekarang ini. Dia banyak mengutuk kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi satu ketika dahulu dan kini memuji kepimpinan Najib Tun Razak. Apa tujuannya yang sebenar? Saya berani berkata Mahathir mahu melihat anaknya naik mencanak dalam persada politik UMNO dan kalau boleh si anak itu boleh memegang jawatan Naib Presiden UMNO dalam masa terdekat.
.
Mahathir dapat melihat bahawa impian itu akan terkandas seandainya PKR menjadi kuat dan Anwar Ibrahim naik berkuasa sebagai Perdana Menteri. Kalau Anwar tidak menjadi Perdana Menteri pun besar kemungkinan Nurul Izzah akan naik menjadi Perdana Menteri. Mahathir dapat mencongak fenomena ini akan berlaku. Kalau sesiapa sahaja yang akan menjadi Perdana Menteri daripada parti bukan-UMNO, besar kemungkinan akan ditubuhkan sebuah jabatan di kementerian tertentu yang akan menyelidik dan menyemak balik segala salahlaku pemerintahan Mahathir.
.
Sebenarnya Mahathir memang banyak berdosa kepada orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Sekarang ini kita dapat lihat Mahathir kadangkala berlagak laksana kera sumbang. Bayangkan seorang negarawan ulung boleh 'mencemar duli' merasmikan penubuhan PERKASA, sedangkan dia tahu PERKASA adalah alat dan wadah Ibrahim Ali mahu terus bernafas dalam arena politik. Bukankah UMNO ditubuhkan dahulu untuk memperjuangkan nasib orang Melayu?
.
Ibrahim Ali memang beruntung kerana Mahathir kini sanggup mendampinginya. Dahulu, Mahathir pernah melantiknya sebagai Timbalan Menteri dan Pengerusi FAMA sebagai imbuhan agar Ibrahim Ali tidak menentang Mahathir ketika memecat Anwar Ibrahim. Selepas itu Ibrahim Ali dapat banyak kontrak lumayan seperti membina Jambatan Pasir Putih dan sebagainya. Semua itu sebagai upah agar Ibrahim Ali akur kepada bosnya.
.
Kini, Mahathir sudah tidak berpengaruh lagi. Dia berpaut kepada apa sahaja untuk terus timbul dalam dunia politiknya. Hanya masa yang akan menentukan apa jadi kepada aura Mahathir. Seperti yang disebut oleh Almarhum Fadhil Nor, dia mahu melihat Mahathir hidup lama untuk melihat segala kebobrokan pemerintahannya.
.
Memang sungguh dahsyat perangai manusia bernama Mahathir. Segala gerak politiknya dilakukan penuh teliti seolah-olah dia mempunyai satu panel penasihat yang pandai memanipulasi orang-orang Melayu. Ada pihak yang berkata panel penasihatnya dahulu datang daripada seberang laut. Ada pula pihak yang berkata Mahathir mempunyai penasihat yang merupakan anggota Freemason. Biarlah fakta ini biar di situ sehingga suatu masa ada pihak lain yang membuat kajian terperinci mengenainya.
.
Akan tetapi saya tidak akan memaafkan Mahathir kerana membiarkan Ananda Krishnan membeli hak milik filem-filem P. Ramlee kerana itu adalah khazanah bangsa. Kenapakah tidak dibiarkan FINAS membelinya? Saya juga tidak mahu memaafkan Mahathir kerana member Ananda Krishnan menguruskan satelit dan ASTRO sedangkan adalah lebih baik kalau dibiarkan Koperasi Angkatan Tentera mengendalikannya.
.
Banyak lagi kecurangan Mahathir terhadap orang Melayu. Biar generasi muda membuat kajian dan mendedahkannya.
.
Apabila diambil kira kecurangan Mahathir terhadap orang Melayu barulah kita sedar kenapa dia meletakkan Azmin Ali menjadi Setiausaha Sulit Anwar. Hinggalah Anwar dipecat kerana enggan mengeluarkan cek untuk menyelamatkan bisnes Mirzan Mahathir.
.
Sesungguhnya segala tindakan Anwar Ibrahim untuk menyanggah Mahathir Mohamed satu ketika dahulu dapat dihidu oleh Mahathir melalui Azmin Ali. Apa sahaja yang Anwar buat Mahathir sudah tahu terlebih dahulu.
.
Mahathir dapat bukti yang kukuh lengkap dengan rakaman kamera jarak jauh setiap pergerakan dan tindakan Anwar Ibrahim satu ketika dahulu, walaupun dia kerap berada di luar negara untuk melalak sebagai jaguh dunia ketiga.
.
Drama kejatuhan Anwar Ibrahim di mana Azmin Ali memainkan peranan besar adalah satu drama yang amat baik dijadikan epik filem Hindustan. Terlalu banyak sub-plotnya seperti peranan Umi Hafilda Ali yang terbang ke luar negara menghadiri ceramah Mahathir mengenai Anwar Ibrahim kepada rakyat Malaysia di luar Negara. Kemudian ada pula kisah Anwar yang terkena racun arsenik ketika dalam tahanan di penjara.
.
Begitu juga dengan penubuhan Keadilan yang banyak melibatkan peranan golongan muda seperti Ezam Mohd Nor, Roslan Kassim dan lain lagi. Tetapi ketika itu tidak pun tersebut peranan Azmin Ali. Malahan ketika Mahathir sudah jatuh dan muncul Abdullah Ahmad Badawi, segala urusan tolak-ansur untuk membebaskan Anwar Ibrahim telah dilaksanakan oleh Ezam Mohd Nor dengan Khairi Jamaluddin. Tidak pula disebut nama Azmin Ali ketika itu.
.
Sebagai kesimpulannya, peranan Azmin Ali untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim daripada tampuk kuasa dalam UMNO dalam kabinet Malaysia adalah amat besar. Ini disedari sendiri oleh Wan Azizah. Yang amat penting lagi, segala gelagat Azmin Ali sejak dahulu sehingga sekarang amat disedari oleh Nurul Izzah.
.
Kerana itu kita tahu, Wan Azizah dan Nurul Izzah tidak merestui tindak-tanduk Azmin Ali terhadap Anwar Ibrahim. Adalah tidak menghairankan kenapa Wan Azizah dan Nurul Izzah tidak memberikan sokongan terbuka kepada Azmin Ali menjadi Timbalan Presiden PKR.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List