PRU 13 : Pakatan Rakyat Yakin Rampas Semula Perak,Kekal Perintah 4 Negeri

on Nov 19, 2010



KUALA LUMPUR, 19 Nov — Jika Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan Barisan Nasional (BN) akan merampas semula satu atau dua negeri daripada Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum ke-13, namun pemimpin gabungan tiga parti komponen itu mempunyai pandangan yang berbeza.

Malah pemimpin PR yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP percaya gabungan tiga parti itu akan mempertahankan negeri yang dimenangi dua tahun lalu.
Dalam pilihan raya umum ke-12, PR berjaya merampas Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak daripada BN dengan mengekalkan Kelantan yang kini masih diterajui PAS sejak 20 tahun lalu.

Perak tumbang ke tangan BN ekoran tindakan tiga wakil rakyat PR — dua dari PKR dan seorang pemimpin DAP keluar parti dan bertindak sebagai anggota mesra BN.
“Itu mungkin anggapan beliau (Dr Mahathir), namun Pakatan walaupun ada beberapa masalah yang berbangkit, namun kita mampu menyelesaikannya kerana kita mengamalkan prinsip yang terbuka dalam soal ini.

“Justeru kita yakin parti komponen Pakatan mempunyai daya kepimpinan yang kuat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” kata Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub ketika dihubungiThe Malaysian Insider.

Menurut Mustaffa, selain mempertahankan empat negeri tersebut beliau yakin PR akan merampas semula Perak dan tiga buah negeri lain iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu dalam pilihan raya umum ke-13.
“Kita yakin untuk mempertahankan negeri-negeri yang kita menangi, malah kita yakin untuk merampas semula Perak dan juga beberapa buah negeri termasuk Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu.

“Sebenarnya kita tahu BN mempunyai masalah yang lebih besar sama ada masalah dalam Umno ataupun parti komponen BN yang lain. Kita juga akui Pakatan terutamanya PKR terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran... namun kita akan atasi perkara ini.
“Jadi kita yakin mampu mempertahankan negeri yang dimenangi dengan merampas semula Perak dan tiga negeri lain sebagai tambahan dalam pilihan raya umum nanti,” katanya.
Dr Mahathir ketika bercakap kepada Bloomberg berkata BN berupaya untuk merampas balik satu atau dua negeri daripada PR dalam pilihan raya umum ke-13 atas alasan perikatan muda tiga komponen itu berada dalam keadaan goyah.

Bagaimanapun beliau berkata, BN kemungkinan “tidak akan mendapat majoriti dua pertiga (di Parlimen) bagi membolehkan mereka menerajui kerajaan (persekutuan) dengan majoriti selesa.”
Dr Mahathir melahirkan pendirian itu di sebalik spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN kemungkinan akan memanggil pilihan raya umum pada suku pertama tahun depan.

Malah Dr Mahathir juga menyifatkan kepimpinan Najib memperlihatkan “perubahan besar” berbanding era Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dewan Tertinggi BN akan bermesyuarat esok, dipercayai untuk merangka persediaan ke arah pilihan raya umum ke-13 dan membincangan persiapan konvensyennya pada 28 November ini.
Sumber-sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa BN melihat bulan-bulan akan datang sebagai tempoh yang penting memandangkan perikatan tersebut akan mengambil kesempatan daripada persekitaran politik semasa khususnya dalam PR selepas Datuk Zaid Ibrahim memutuskan untuk keluar PKR.

Kejayaan BN dalam dua pilihan raya kecil serentak awal bulan ini dilihat sebagai sumber pemulihan keyakinannya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Dalam pada itu, bagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, apa yang diperkatakan Dr Mahathir itu jelas menunjukkan kegelisahan beliau tentang masa depan Umno-BN pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya rasa apa yang dikatakan Dr Mahathir itu masih lagi manifestasi daripada kebimbangan beliau terhadap masa depan Umno.
“Beliau tidak boleh menyembunyikan perasaan, jadi beliau terpaksa menyuarakannya kerana yakin BN tidak mempunyai masa depan pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga berkata, PR perlu meningkatkan prestasi bagi membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan pimpinan tiga parti itu dapat melakukan yang terbaik daripada BN.

“Justeru apa yang penting dalam era sekarang Pakatan harus mengekalkan prestasi dan memperkasakan program kepada rakyat,
“Ini kerana supaya rakyat dapat melihat akan perubahan prestasi yang dilakukan kerajaan pimpinan Pakatan.

“Itu yang lebih penting daripada melayan kerenah politik BN,” katanya.
Sementara itu, penasihat DAP Lim Kit Siang berkata PR harus menyelesaikan setiap masalah yang berbangkit dan pada masa sama mengekalkan momentum perubahan yang dilakukan.
“Saya tidak mahu cakap banyak mengenai perkara ini, tetapi bagi saya, itu apa yang Dr Mahathir katakan.

“Bagi saya ia bergantung sama ada Pakatan dapat menyelesaikan masalah yang berlaku dan bagaimana untuk mengekalkan momentum perubahan yang dilakukan sekarang.
“Jadi saya tidak melihat apa yang dikatakan Dr Mahathir itu akan berlaku,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini beberapa kali membayangkan termasuk ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2010 bulan lalu bahawa kemungkinan pilihan raya umum tergempar akan diadakan dalam waktu terdekat ini.
Bagaimanapun BN masih berusaha untuk menyelesaikan beberapa isu utama, antaranya kes projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), persepsi berkaitan kes liwat kedua Anwar dan punca kematian misteri Teoh Beng Hock ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang inkuirinya masih berjalan, sebelum memanggil pilihan raya umum tergempar.

The Malaysian Insider difahamkan pemimpin-pemimpin BN telah bersetuju agar isu-isu ini ditangani bersama keperluan persekitaran ekonomi meyakinkan dan kondusif diwujudkan sebelum dengan penuh yakin BN boleh membubarkan Parlimen dan memanggil pilihan raya umum ke-13.

-TMI-

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List