PKR Pasca Zaid: Ditelan Pahit, Dibuang Sayang..........???

on Nov 19, 2010

Datuk Zaid Ibrahim menegaskan, beliau langsung tiada cadangan untuk menubuhkan parti baru susulan tindakannya keluar PKR seperti mana yang diperkatakan sebelum ini.

Bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan (gambar, kiri) itu menyifatkan dakwaan mengatakan beliau mahu menubuhkan parti baru adalah taktik untuk memburuk-burukkan dirinya.

“Sebenarnya walaupun Setiausaha Agung PKR (Saifuddin Nasution Ismail) menuduh saya mempunyai ada parti politik baru sebelum pemilihan ini (pemilihan PKR 2010), sebenarnya tidak ada, dan ia hanya cara-cara berpolitik untuk memburukkan lawan.

“Bila kita tanya parti itu namanya apa? Beliau (Saifuddin) kata akan kemukakan pada masa yang sesuai.

“Jadi ini yang kita selalu dengan dari mulut pemimpin yang suka berbohong, kata bukti akan datang sekejap lagi.

“Saya tidak ada rancangan untuk merosakkan PKR atau menubuhkan parti baru kerana pada saya, saya hanya berdepan dengan isu-isu proses politik yang lebih baik,” kata beliau ketika mengambil bahagian dalam program Analisis terbitan Astro Awani hari ini.

Saifuddin sebelum ini mendakwa Zaid sudah pun menubuhkan sebuah parti politik dengan keanggotaannya terdiri daripada orang kanannya.

Zaid yang minggu lalu mengumumkan keputusan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden, Isnin lalu mengesahkan akan keluar PKR yang disertainya 18 bulan yang lalu.

Zaid dalam sesi wawancara itu juga berkata, PKR akan kehilangan kuasa sekiranya tidak melakukan perubahan dan mengamalkan demokrasi.

“Kalau kita kata Barisan Nasional (BN) ini parti yang tidak demokratik, parti yang tidak amalkan demokratik, maka kita mestilah demokratik.

“Kalau kita juga (mengamalkan) politik yang mengawal kuasa, politik yang menentukan siapa yang bakal menggantikan kita dan sebagainya, maka apa bezanya kita dengan BN? Bagaimana kita mahu berjaya? Bagaimana kita mahu menerima sokongan rakyat daripada cara itu?” katanya.

Zaid yang menyertai PKR pada 2009 selepas dipecat Umno pada akhir 2008 menafikan dakwaan beliau adalah seorang penakut dan tidak mampu bertahan.

“Saya selalu baca dalam blog mereka yang tidak suka saya ini mengatakan saya ini orang yang tidak boleh bertahan, penakut dan suka berhenti.

“Tapi sebenarnya mereka tidak ada hujah lain, saya sebenarnya dalam Umno 24 tahun, tak ada pun saya digantung dalam Umno, saya calon BN dan diberhentikan, saya tewas tiga atau empat kali tapi saya tak ada berhenti pun.

“Bila saya berhenti, bukan saya berhenti sebab saya buat silap tapi kerana pandangan saya mengenai ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) tidak boleh diterima dan saya ketika itu sebagai menteri terpaksa melepaskan jawatan kerana prinsip dia menteri mesti bersetuju dengan dasar jemaah menteri.

“Jadi saya terpaksa berhenti bukan kerana saya lari atau penakut,” katanya.

Sehubungan itu, Zaid berkata tindakan menyertai PKR adalah untuk memperjuangkan ketelusan dan proses demokrasi seperti mana yang dikehendaki rakyat.

“Jadi berbalik kepada PKR, saya masuk dengan harapan tinggi bahawa inilah parti yang dikatakan memperjuangkan ketelusan, proses demokrasi dan sebagainya kerana inilah harapan rakyat.

“Jadi bila saya bertembung dengan satu proses yang pada saya jelas berlaku kepincangan yang diatur supaya orang-orang tertentu menang bukan kerana kelemahan organisasi tetapi kerana jahat.

“Maka pada saya, saya tidak boleh terima perkara ini. Jadi timbullah kata saya penakut, Anwar Ibrahim (Penasihat PKR) kata saya cepat mengalah dan macam-macam.

“Tetapi pada saya inilah perubahan nilai politik yang saya maksudkan, kalau kita di Malaysia mahukan kekuasaan mestilah kuasa itu meyakinkan rakyat bahawa kita tidak akan menyalahgunakan kuasa itu dan kita akan juga menguruskan negara ini dengan terbaik. Ini adalah perkara pokok,” katanya.

Menurut Zaid, kejayaan seorang ahli politik diukur dengan kebolehannya untuk melakukakan perubahan dan menjalankan kewajiban sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat bukan daripada jawatan yang disandang.

“Kalau nak mengukur kejayaan berdasarkan jawatan sudah tentu saya tidak berjaya. Tapi saya mengukur keberkesanan ahli politik negara ini dengan sejauh mana dia dapat mengubah satu proses perubahan dalam cara-cara yang saya sebutkan sebelum ini.

“Ketelusan dari segi demokrasi negara, cara dari segi tanggungjawab pemimpin-pemimpin kita untuk berterus terang, bercakap benar yang mana pada saya itu perkara pokok.

“Saya tahu memang sukar untuk kita mengubah sesuatu keadaan terutama sekali bila keadaan itu mengenai kebiasaan orang dengan sesuatu perkara. Ini kerana perubahan ini ia ada kebimbangannya kerana ia mengikut sesuatu yang baru maka kita selesa dengan apa yang ada,” katanya.

Tambah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, kejayaan seseorang ahli politik itu turut diikur dari segi keberkesanannya untuk mendapatkan respons daripada orang lain.

“Saya ada penyokong tapi saya juga ada yang tidak suka saya, tetapi ukuran keberkesanan kita adalah bila kita kata sesuatu dan kemudiannnya kita dapat reaksi.

“Saya melihat sedikit sebanyak apabila Perdana Menteri kata Umno juga perlu berubah. Saya masih ingat lagi, ini yang saya perkatakan 10 tahun dulu bahawa Umno tidak akan berjaya dalam pilihan raya sehinggakan dalam Dewan Rakyat pada 2004 saya disebut sebagai pembangkang.

“Kerana saya merasakan pada masa itu, kalau BN dan Umno tidak berubah, maka akan berlaku kekecewaan yang mana sudah berlaku pada 2008. Pada saya, sedikit sebanyak yang saya perkatakan sudah terbukti,” katanya.

Menurut Zaid, parti-parti politik di negara perlu melakukan lebih banyak perubahan termasuk melibatkan rakyat dalam proses menjayakan amalan demokrasi di negara ini.

“Dalam demokrasi yang berkesan dan efektif kita perlu penglibatan semua lapisan sama ada parti politik, NGO, rakyat dan sebagainya kerana rakyat yang hanya faham dan mahu terlibat dalam perubahan boleh menjayakan demokrasi itu.

“Saya percaya negara kita sudah mencapai ke tahap itu kalau tidak dari segi 100 peratus penglibatan rakyat tapi rakyat sudah mahukan perubahan dalam proses politik. Jadi memang tidak akan kurang mereka yang akan ambil pendekatan menubuhkan parti politik dan kita banyak parti politik di negara ini.

“Dalam Barisan Nasional kita ada 14 parti, dalam Pakatan Rakyat ada tiga dan parti-parti kecil ada empat atau lima. Jadi saya percaya mungkin ada lagi parti lain selepas ini,” katanya.

Beliau juga berkata politik zaman sekarang adalah politik yang dibangkitkan berdasarkan isu dan perkembangan semasa.

“Saya bersetuju 100 peratus kerana zaman sekarang politiknya mesti berkisarkan kepada isu, mesti berkisarkan kepada perkembangan semasa kerana kita tidak mahu ketinggalan.

“Tetapi dalam usaha untuk kita membawa ke cara itu maka sudah tentu cara berpolitik juga mesti berubah. Transformasi itu hanya boleh berlaku apabila ada transformasi politik, begitu juga dalam usaha kita membawa kepada penyelesaian masalah.

“Masa depan negara kita bergantung kepada trasformasi politik kita.

“Dalam perkara ini ada orang yang ambil pendekatan yang agak pratikal daripada saya. Saya lebih suka berkecimpung dalam konsep ini,” katanya.

Zaid sebelum ini mengesahkan akan meninggalkan PKR tetapi belum mengemukakan notis rasmi berhubung keputusannya kepada ibu pejabat parti itu.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List