Saya kurang pasti apakah niat sebenar kenyataan Khairy Jamaluddin di bawah ini? Apakah beliau mendesak DS Najib agar memberikannya jawatan kabinet? Peluang apa yang dimaksudkan oleh Khairy dalam ucapannya itu? Dan apakah maksud tanggungjawab yang lebih besar harus diberikan kepada Pemuda UMNO? Khairy banyak bermain dengan retorik bahasa yang memualkan. Saya ingin mengingatkan Pemuda UMNO, agar tidak terlalu berbangga dengan angka dan jumlah ahli yang telah didaftarnya - yang penting sudahkan semua ahli UMNO yang baru itu berdaftar sebagai pengundi?
Jika belum, sia-sia sahaja usaha Pemuda mendaftarkan mereka sebagai ahli UMNO. Khairy berkata tentang peluang dan tanggungjawab - soalnya sudahkah beliau memberi peluang kepada para penyokong Mukhriz dan Khair Toyo untuk memegang jawatan dalam barisan EXCO Pemudanya? Jika belum, rasanya tidak perlulah beliau meminta Presiden Parti memberi peluang dan tanggungjawab yang lebih kepadanya. Wallahualam.
KUALA LUMPUR 20 Okt. – Golongan muda perlu diberi banyak peluang dalam parti dengan memegang dan memikul tanggungjawab lebih besar jika mahu melihat mereka sebagai pewaris untuk memperjuang dan membela nasib orang Melayu pada masa depan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, meskipun rata-rata generasi muda menerima corak kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, masih ada lagi pihak dalam parti sendiri yang masih ragu dengan kredibiliti mereka. Katanya, golongan tersebut amat berharap agar kepimpinan parti bersikap lebih terbuka kepada Pemuda UMNO.
“Namun, keterbukaan sama masih belum ditarikan oleh semua di mana masih ramai yang ragu-ragu dan takut untuk membuka ruang penyertaan lebih luas kepada orang muda. “Anggaplah kami sebagai harapan dan bukan ancaman, berikanlah juga kami peluang dan kepercayaan, upayakanlah kami untuk memegang dan menggalas tanggungjawab lebih berat.
“Saya percaya, Pemuda UMNO hari ini bukan golongan yang mengejar jawatan, gila kuasa, tamak projek tetapi kami pendokong harapan, pembela nusa, pencetus semangat, satria setia,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Menurutnya, senario politik semasa adalah berteraskan pemikiran dan idea yang bertunjangkan ilmu, bukan bergantung pada kuasa eksekutif semata-mata. “Anak-anak muda sekarang lebih gemar disajikan dengan pilihan politik yang menguji daya pemikiran mereka.
“Penyebaran maklumat melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter sudah menjadi alternatif pilihan kepada media massa tradisi. “Pemikiran golongan muda dibentuk bukan melalui kenyataan atau ulasan menteri dalam Buletin Utama TV3 atau Warta Perdana TV1 tetapi melalui apa yang mereka lihat dan dengar dalam YouTube yang tidak boleh dikawal atau dipengaruhi,” ujarnya.
Justeru, beliau memberitahu, usaha mendampingi mereka juga mesti melalui pendekatan berpaksikan pemikiran dan pandangan yang lebih kritis dari era dahulu. Jelas beliau, golongan tersebut tidak boleh disumbat dengan propaganda berat sebelah, sebaliknya UMNO perlu mengamalkan budaya inklusif yang menghargai penyertaan belia dan remaja, bukan lagi budaya politik dari atas ke bawah. Beliau menambah, pergerakan itu merupakan penyumbang keahlian baru terbesar kepada parti dengan pertambahan seramai 41,663 orang yang membentuk 43 peratus daripada keseluruhan ahli baru.
0 comments:
Post a Comment