PELUK & CIUM “MODEL” POLITIK BARU.....???

on Oct 21, 2010

Secara sinis, saya menulis di Twitter: “Amat berharap politikawan memeluk dan mencium “politik baru”, bukannya mencium dan memeluk “model.” Saya sebutkan hal ini secara sengaja kerana ada orang yang keliru dengan “Model Politik Baru”. Mungkin perkataan “model” itu terlalu menarik, mereka langsung melupakan “politik baru.”

Ketika artikel ini ditulis, saya belum mendengar ucapan Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak, khusus mengenai apakah yang dimaksudkannya dengan “politik baru.” Namun, apabila Najib menyebut soal “politik baru”, saya fikir beliau sedia untuk beralih dari memberikan tumpuan kepada kerajaan; kepada memberikan fokus kepada parti.

Dalam tulisan saya sewaktu beliau mengambilalih jawatan Perdana Menteri, saya sebutkan bahawa Najib akan menumpukan tahun pertama kepada kerajaan; sebelum beralih ke parti pada tahun berikutnya. Nampaknya telahan saya, ada kebenarannya.

Pada ketika itu, kerajaan berada dalam keadaan yang cukup tidak stabil. Malah, Perdana Menteri ketika itu dikatakan tidur sewaktu menjalankan tugas. Maka, tanggungjawab besar Najib selepas menjadi Perdana Menteri ialah memulihkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Sekarang, saya fikir Najib sudah melaksanakan apa yang perlu dengan kerajaan. Insiatif yang dimulakannya sedikit demi sedikit mula menampakkan hasil. Sekarang ialah masa yang betul untuk beralih kepada politik.
Saya percaya selepas Perhimpunan Agung UMNO ke 64 ini, Najib akan menumpukan kepada menyelesaikan isu-isu dalam Barisan Nasional dan parti-parti komponennya; termasuklah UMNO.

Sekiranya sebaik saja menjadi Perdana Menteri beliau mengumumkan “Model Ekonomi Baru,” maka untuk fasa kedua ini, Najib mengorak langkah dengan “Model Politik Baru.”
Berbicara soal “Model Politik Baru,” saya mengharapkan UMNO untuk mengamalkan perkara-perkara berikut:

Pertama, harus ada pemisahan di antara pengurus parti dan calon anggota legislator. Pada masa ini, calon Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri adalah dari kalangan pemimpin tertinggi bahagian. Seseorang Ketua Bahagian, Timbalan atau Naib sering memasang angan-angan untuk menjadi wakil rakyat. Sampai ke satu tahap, jawatan anggota legislator bukan lagi dilihat sebagai amanah, tetapi rezeki.

UMNO harus keluar dari kepompong pemikiran sedemikian. Jawatan yang disebut tadi, begitu juga dengan Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri adalah pengurus parti. Mereka harus menguruskan parti; dan tidak sewajarnya dilihat sebagai calon pilihanraya. Ada orang memang cukup layak menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian tetapi tidak cukup sifat untuk menjadi Ahli Parlimen. Terimalah hakikat itu.

Andainya ini dapat dilakukan, bilangan pemimpin UMNO yang sabotaj kempen parti apabila dia tidak terpilih menjadi calon pilihanraya boleh dikurangkan. Sekaligus, ia membuka ruang kepada UMNO untuk menerokai lebih 3.5 juta orang ahli parti yang boleh diketengahkan sebagai calon pilihanraya; bukan sahaja di kawasan masing-masing, tetapi juga di mana-mana kawasan yang diwakili UMNO.

Kedua, UMNO harus mengadakan pelan peralihan (succession plan) yang jelas, terutama sekali di peringkat kepimpinan bahagian. Dalam keadaan di mana UMNO akan memasuki pilihanraya umum ke 13 tidak lama lagi, pemimpin-pemimpin parti harus mampu mengukur baju di badan sendiri.

Sekiranya mereka sudah tidak mampu untuk menyumbang, berikanlah jawatan itu kepada orang lain. Malah, adalah lebih baik sekiranya pemimpin sedia ada mula mengenalpasti dan menyerahkan amanah kepimpinan itu kepada orang baru.
UMNO bukan sahaja memerlukan suntikan budaya baru, malah memerlukan juga muka-muka baru. Perubahan ini harus berlaku sebelum PRU13; malah lebih baik sekiranya ia dilakukan melalui satu proses peremajaan parti tanpa pemilihan.

Dan, ketiga mengutamakan merit dalam pemilihan parti. Untuk sekian lama, sebahagian besar pemegang jawatan dalam parti menang jawatan itu melalui strategi tektikal. Oleh kerana itulah, maka terdapat ramai orang yang tidak layak dipilih ke jawatan penting dalam parti — terutama sekali pada peringkat bahagian.
Atas dasar itulah, maka proses pemilihan dalam parti harus dirombak bagi membuka ruang seluas-luasnya kepada mereka yang layak untuk menerajui UMNO. Sekiranya tidak, maka tunggul reput akan terus menjadi pemimpin bahagian; dan profesional yang dilahirkan melalui dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional akan menyertai parti lawan.

Apa pun, ketiga-tiga perkara ini harus berlaku sebelum PRU13. Sebagai sebuah parti yang telah lama ditubuhkan, UMNO mempunyai sumbangan yang besar kepada negara; dan pada masa yang sama mempunyai bagasi yang harus digalas.
Perubahan yang saya sebutkan ini boleh memberikan wajah dan nafas perjuangan yang baru kepada parti. Persoalannya ialah adakah pemimpin dan ahli-ahli parti sedia memeluk dan mencium “politik baru”: atau mereka keliru dan berminat memeluk “model” sahaja?

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List