Ucapan Najib.....???

on Oct 21, 2010

PRESIDEN Umno, Mohd Najib Razak baru selesai menyampaikan ucapan dasar perhimpunan agung Umno ke-61 yang memakan masa satu jam. Pendek. Selalunya ucapan dasar memakan masa lebih satu jam. Apakah Najib tidak ada modal atau tidak mahu mengulangi modal yang sama?

Saya hanya mendengar suku masa pertama saja, bagaimana Najib menarik perhatian perjuangan Umno yang dibawa oleh takah-takahnya sejak zaman Onn Jaafar, Tuanku Abdul Rahman, Tun Razak, Hussein Onn, Mahathir Mohamad dan Abdullah Badawi. Selepas itu saya terlelap.

Umumnya takah-takah itu bersambungan antara satu sama lain. Beliau banyak memainkan sentimen sejarah dan peranan Umno dalam menjayabangunkan bangsa dan negara. Beliau mengingatkan akan jasa, bakti dan budi Umno yang kini sudah mula dipinggirkan.

Selepas itu saya tertidur dan sedar-sedar Najib memberi jaminan tegas bahawa hak keistimewaan Melayu tidak boleh diusik. Beliau memberi amaran kalaupun ada yang ingin menghapuskan apa yang sudah dimaktubkan tidak dapat dilakukan apa-apa kerana ianya sudah konkrit. Katanya setitik pun apa yang termaktub itu tidak boleh diubah? Betul ke?

Sejauh manakah perlembagaan memberi jaminan terhadap keresahan sesetengah orang Melayu. Kalau perlembagaan begitu kuat dan konkrit kenapa harus dihebohkan kepada para peteluang yang hendak meruntuhkan Melayu yang ditakhta atas perlembagaan itu? Umno tidak perlu gerun kepada sesiapa kalau benar kedudukan hak Melayu itu begitu istimewa dan utuh meraja.

Nampaknya mesej itu Najib tujukan kepada pembangkang, tetapi hakikatnya beliau menghantar mesej itu kepada rakan-rakan Umno di dalam komponen itu sendiri. Kita tenguklah selama ini apakah rakan Umno dari kalangan bukan Melayu akan akur dan memahami mesej berkenaan.

Apakah jaminan dan ketegasan Najib itu akan dipedulikan?

Akhirnya seperti biasa dengan nada lantang penuh bersemangat Najib menyeru ahli Umno supaya bangkit mempertahankan Melayu. Dalam hal ini ada tiga kaedah bagi merealisasikan; mengumpul kudrat, cari penawar dan menggerakkan kerja. Mungkin kudrat ada - menggunakan agensi kerajaan, penawar ada - formula dan kaedah tetapi soal menggerakkan. Ahli Umno sudah mangli dengan kesenangan dan bentuk gerak kerja yang dilakukan selama ini. Ini dilihat masalah yang bakal menimpa Umno kemandulan untuk melakukan gerak kerja.

Di akhir ucapannya Najib mengakhirnya dengan laungan (slogan) Hidup Melayu sebanyak tiga kali. Kemudian ia disudahi dengan pujian agung oleh pengerusi ke atas sang presiden itu dengan menyebut hebat... hebat. Apa yang hebat?

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List