Banjir: Lebih 2,000 dipindahkan di Kedah

on Nov 2, 2010














PADANG TERAP, 2 Nov: Hujan lebat yang berterusan di Kedah sejak semalaman telah mengakibatkan beberapa daerah di negeri itu dinaiki air dan lebih 2,000 orang terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara yang dibuka.
Di Padang Terap, 29 buah pusat pemindahan sementara telah dibuka bagi menempatkan 1,682 mangsa daripada 461 keluarga yang rumah mereka dinaiki air(gambar).

Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Mohd Nasir Zakaria yang dihubungi berkata, jumlah tersebut dijangka akan bertambah sekiranya hujan lebat masih berlarutan.
"Ada 38 buah kampung yang telah dinaiki air, ada mangsa yang berpindah ke rumah jiran dan keluarga, dan dijangkakan jumlah mangsa akan bertambah lagi berikutan hujan lebat masih lagi turun," katanya.
Sehubungan itu beliau merayu simpati orang ramai untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir di daerah itu. Sumbangan boleh disalur terus ke akaun CIMB 0206-0000137-100 (Seketeriat Ahli Parlimen Padang Terap).
Sementara itu di Pokok Sena, dua jalan utama yang menghubungkan daerah itu dengan Kuala Nerang dan Bukit Pinang dinaiki air dan telah ditutup kepada kenderaan ringan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lada, Ustaz Ahmad Izzat Shauki berkata, beberapa buah kampung di situ telah dinaiki air, dan keadaan banjir masih terkawal.
Namun begitu menurutnya, penduduk-penduduk di kampung terbabit telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan keadaan air yang semakin naik dan hujan yang masih tidak berhenti.
"Belum ada lagi pusat pemindahan dibuka, tapi ada beberapa keluarga yang berkeadaan tidak selamat telah berpindah ke rumah saudara mara dan jiran yang berhampiran," katanya.
Beliau yang turun meninjau keadaan banjir di situ turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa yang terlibat.
Di Kubang Pasu, keadaan banjir di situ dilaporkan semakin buruk dan membimbangkan. Seramai 491 mangsa daripada 101 keluarga telah dipindahkan ke tiga pusat pemindahan yang telah dibuka.
Manakala di Anak Bukit, 76 mangsa banjir daripada 23 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara iaitu di Sekolah Kebangsaan Gunung dan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, dekat sini.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List