LAGI BERITA KONTROVERSI PEMILIHAN PKR.....???

on Nov 2, 2010

Keputusan Kontroversi Pemilihan PKR: Azmin Kembali Dahului Pencabar




PETALING JAYA: Seperti ada yang tidak kena dengan proses pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masuk hari keempat pada Isnin selepas keputusan awal yang dipaparkan melalui laman web rasmi parti itu dikatakan tersilap gara-gara 'kesalahan manusia'.

Keputusan laman web itu yang disiarkan pagi tadi bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, selepas 68 cabang mengundi menunjukkan Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim mendapat keseluruhan 3,683 undi, meninggalkan pencabar terdekatnya, Azmin Ali yang juga Naib Presiden PKR (3,051).

Manakala seorang lagi calon Mustaffa Kamil Ayub mendapat 1,271 undi.

Bagaimanapun, halaman yang menyiarkan keputusan pengundian itu sudah tidak dapat lagi diakses selepas ibu pejabat parti itu mengeluarkan keputusan rasmi lain yang menunjukkan angka berbeza iaitu Azmin mendahului Zaid.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sharifah Shahidah, Azmin mendahului dengan mendapat 3,051 undi sementara Zaid pula memperoleh hanya 2,529 undi manakala Mustaffa yang juga Naib Presiden (1,149).

Beliau mengesahkan bahawa kesilapan keputusan tesebut berlaku disebabkan oleh kecuaian individu yang memasukkan dan mengemaskini data serta keputusan rasmi bagi pemilihan tersebut.

"Ya memang kita akui ada berlaku kesilapan manusia ketika memasukkan data keputusan rasmi tersebut. Ia pun telah diperjelaskan oleh Setiuasaha Agung, Saifuddin Nasution hari ini,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Sementara itu, bagi kerusi naib presiden pula, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga Pengarah Strategik PKR mendahului senarai dengan mendapat 3,621 undi, diikuti oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang memperoleh (3,543).

Mereka diekori rapat oleh Pengarah Pilihan Raya PKR yang juga Ahli Parlimen Kuantan di tempat ketiga (2,895) manakala Timbalan Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman mendapat (2,852). -mstar


Wujudkah elemen manipulasi dalam kiraan undi?

PETALING JAYA: Pertarungan untuk jawatan timbalan presiden PKR mencipta senario baru apabila para penyokong Dato’ Zaid Ibrahim mendakwa kemungkinan wujud elemen manipulasi dalam pengiraan undi terbaru yang dikeluarkan oleh ibu pejabat PKR semalam.

Firdaus Christopher, pembantu khas Zaid, berkata, untuk semata-mata menyalahkan "kesilapan manusia" atas kesalahan pengiraan undi yang pertama tidak menjamin ketepatannya.

Sebelum keputusan rasmi diumumkan, pihak media tersentak dengan maklumat dari ibu pejabat bahawa Ketua PKR Wilayah Persekutuan Zaid sedang mendahului dengan selesa dalam perlumbaan merebut jawatan nombor dua itu.

Zaid memperoleh 3,683 undi, meninggalkan pencabar terdekatnya Naib Presiden Azmin Ali dengan 3,051 undi dan calon ketiga, yang juga Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub (1,271 undi).

Bagaimanapun, keputusan itu dipinda oleh Setiausaha Agung Saifuddin Nasution petang semalam dan sebaliknya mengumumkan Azmin yang sebenarnya mendahului dalam perlumbaan itu dengan Azmin mendapat 3,051 undi berbanding Zaid (2,529) dan Mustaffa (1,149).

Saifuddin menyalahkan faktor "kesilapan manusia" (human error) dan berkata pengiraan semula telah dibuat berikutan protes dari kedua-dua kem.

Aduan rasmi

Firdaus, yang tidak yakin dengan penjelasan itu berkata aduan rasmi akan dibuat di ibu pejabat PKR di sini.

"Kami mahu sekretariat parti atau JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) memastikan kesilapan seperti ini tidak berulang pada minggu-minggu yang akan datang," katanya.

Sementara itu, agen pilihan raya Zaid, Rashid Azad Khan memberitahu FMT bahawa angka-angka itu menunjukkan Zaid sedang mendahului tetapi angka-angka itu berbeza dengan apa yang disediakan oleh ibu pejabat sebelum diubah.

"Saya sedang menyiasat perkara ini dengan ahli-ahli kami di peringkat akar umbi. Jika kami betul, kami akan buat aduan di ibu pejabat.

Biar kami periksa dulu dan saya akan beritahu esok (hari ini)," katanya.

Bagaimanapun sumber yang rapat dengan Azmin mempertahankan keputusan rasmi dengan menegaskan ia tidak sepatutnya dipertikaikan dan pembetulan yang dibuat oleh ibu pejabat adalah wajar. -FMT

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List