Calon ketua sayap muda PKR putuskan malam ini opsyen tarik diri.........???

on Nov 10, 2010




KUALA LUMPUR, 10 Nov — Calon ketua sayap pemuda PKR Badrul Hisham Shaharin akan memutuskan sama ada kekal dalam saingan ataupun menarik diri daripada bertanding - mengambil langkah Datuk Zaid Ibrahim — malam ini di sebalik dakwaan pemilihan parti berhadapan dengan kepincangan dan kecacatan.

Zaid mengumumkan pendirian menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden kelmarin dan melepaskan kesemua jawatan dalam parti itu.

Badrul Hisham berkata, beliau akan membuat keputusan “penting” demi kelangsungan parti dan juga bagi memenuhi harapan rakyat terhadap PKR.

“Kita melihat apa yang berlaku sekarang ini sebagai satu krisis yang memerlukan satu keputusan, saya akan mengambil kira aspek kelangsungan parti dan memenuhi harapan rakyat,” kata beliau.


“Seluruh kepimpinan muda akan memutuskan bersama untuk mencari penyelesaian terhadap kepincangan yang timbul, kita akan membuat keputusan termasuk sama ada perlu atau tidak menarik diri daripada bertanding,” kata beliau yang turut dikenali sebagai “Chegubard” kepada The Malaysian Insider hari ini.

Kata Badrul Hisham, oleh kerana beliau membuat keputusan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak secara kolektif semasa hendak bertanding sebelum ini, apa jua keputusan malam ini akan diputuskan secara bersama.

“Ini cara kami membuat keputusan, kami mahu membuat keputusan mengenai penyelesaian kepada kepincangan semasa secara kolektif,” kata beliau lagi.

Kira-kira 100 pemimpin dijangka berhimpun malam ini, kata beliau.

Pertemuan malam ini yang dinamakan “Himpunan Anak Muda Selamatkan Keadilan” akan berlangsung di Dewan Perniagaan Cina Selangor, 9 malam ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, salah seorang pesaing jawatan naib presiden, juga akan turut hadir.

Jawatan ketua AMK disaingi penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham.

Saingan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) masih didahului Shamsul Iskandar dengan 1,455 undi manakala Badrul Hisham mengekori rapat dengan 1,428 undi.

Sebelum ini termasuk semalam, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail menafikan pemilihan parti dicemari manipulasi dan penyelewengan sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak termasuk Zaid.

Beliau juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan blog bahawa kertas undi pemilihan pusat PKR boleh dibeli.

Kelmarin, Zaid pula mendakwa beliau memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding kerana kecewa apabila aduan-aduan dikemukakan tidak diambil perhatian.

Ketika ditanya sama ada pemilihan patut ditangguhkan sebagaimana digesa oleh seorang lagi calon timbalan presiden Mustaffa Kamil Ayub, Badrul Hisham berkata, memang menjadi pendirian beliau dari awal bahawa pemilihan parti harus ditangguhkan sementara segala masalah dan isu yang ditimbulkan diselesaikan.

“Saya dari awal lagi sudah membuat pendirian ini. Tetapi parti membuat pendirian bahawa pemilihan harus diteruskan, kami akur dengan keputusan itu.

“Tetapi masalah yang dibangkitkan sebelum ini berterusan,” kata beliau merujuk kepada dakwaan dan memorandum yang dikemukakan oleh Mustaffa semalam menggesa pemilihan dibatalkan dan proses pengundian baru diadakan.

Sementara itu, Nurul Izzah dalam ulasannya mengenai situasi semasa dalam parti itu berkata, beliau percaya setiap anggota PKR bebas untuk berfikir dan melakukan yang terbaik demi diri mereka dalam kerangka perjuangan parti.

“Pilihan sama ada untuk memegang atau melepaskan jawatan itu adalah hak setiap anggota parti.

“Pada masa yang sama, saya percaya PKR mempunyai anggota-anggota yang cukup mampu untuk mengambil alih tugasan yang telah diberi kepada Datuk Zaid sebagai pengerusi PKR Wilayah Persekutuan,” kata beliau dalam kenyataan SMS.

Walaupun begitu, kata Nurul Izzah, kehilangan Zaid terasa oleh ramai ahli yang menaruh harapan dan amanah terhadap kesinambungan pimpinan beliau dalam parti.


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List