Mahkamah periksa kereta yang ditembak 32 kali

on Nov 10, 2010

Pihak pendakwa, peguambela dan hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Latifah Mohd Tahar akan mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kereta Proton Iswara yang dipandu Aminulrasyid Amzah, yang mati ditembak polis, apabila ia dibawa ke mahkamah esok untuk diteliti.

Ia bagi memudahkan ahli kimia Saari Desa untuk menjelaskan mengenai laluan peluru yang ditemui di kepala mangsa yang berusia 15 tahun.

Peluru tersebut ditemui ahli patologi forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.

Sebelum itu, dalam keterangannya, Saari berkata, selepas memeriksa dua submesingun - Heckler dan Koch HK MP 5 - yang digunakan oleh polis yang dikemukakan sebagai bahan bukti, beliau tidak dapat memastikan dari senjata mana peluru itu ditembak.

Petang tadi, Saari memberitahu mahkamah bahawa senjata itu mungkin ditembak dari jarak dekat sejauh tiga meter. Saari juga berkata, beliau menemui 32 lubang peluru pada kereta berkenaan.

Beliau yang juga ketua unit senjatapi dan pengesanan Jabatan Kimia berkata, beberapa butir peluru ditemui dari kereta tersebut, yang telah rosak akibat tembakan.

Katanya, kereta itu dibawa pada 5 Mei 2010, dan beliau memeriksanya sehingga 21 Mei 2010.

Menurutnya, peluru yang membunuh Aminulrasyid ditembak dari belakang, di sudut tembakan 13 darjah ke kiri, mengenai cermin belakang dan menembusi tempat sandar kepala kerusi pemandu.

Di samping itu, terdapat 31 lubang peluru lain yang dikesan pada kereta tersebut.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List