Part 1 : Pujian untuk memperalatkan Nurul Izzah.....???

on Nov 10, 2010

Mungkin tidak keterlaluan seandainya keluarga Anwar Ibrahim diberi gelaran Keluarga Pertama Reformasi.  Bekas Timbalan Perdana Menteri ini dipecat dari jawatannya pada tahun 1998, dan kemudian isterinya pula menggalas gerakan Reformasi yang dicetusnya.  Sementara keluarga ini menerima impak secara langsung daripada pergelutan kuasa negara, riak muka anggotanya pula mencerminkan wajah politik tanahair.

Reformasi selepas tsunami politik 8 Mac 2008 telah memasuki fasa barunya.  Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memikul harapan untuk menawan Putrajaya bersama Pakatan Rakyat - kini sedang melalui proses pemilihan dalam partinya.  Sekali lagi, interaksi dalam "Keluarga Pertama Reformasi" ini menjadi tumpuan media.
Malah, keluarga ini dikatakan bercanggah pendapat dalam isu penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR, yang ditafsir umum sebagai "pengganti Anwar" pada masa depan.  Azmin Ali, meskipun diiktiraf sebagai "pengikut setia" Anwar Ibrahim, "diuji dan teruji" sepanjang 12 tahun, dikatakan tidak disenangi Presiden PKR Wan Azizah Ismail, bersama anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar.

Anwar: Ada orang cuba memperalatkan Nurul

Barangkali ia sekadar persepsi, tapi mungkin juga ia strategi.  Zaid Ibrahim, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri yang menyertai PKR pada Jun 2009, berdolak dalik apabila Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden.  Zaid Ibrahim yang sebelum ini "sanggup memberi laluan kepada Khalid Ibrahim", mengubah pendirian untuk memberi laluan kepada Nurul Izzah, seandainya ahli poltik berusia 30 tahun ini sudi bertanding untuk kerusi kedua dalam parti.

Malah, Zaid Ibrahim tidak kedekut untuk memberikan pujiannya, "Saya melihat Nurul sebagai satu nafas baru dalam parti, orang muda yang boleh menarik keahlian baru yang lebih dinamik dan profesional, saya akan menyokong dan membantu beliau serta tidak akan merumitkan peluang beliau menang." (dipetik daripada laporan Malaysiakini)
Ia membuka lembaran pertikaian sama ada Nurul Izzah layak untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden.  Nurul Izzah bagaimanapun tetap enggan menyinggung Zaid Ibrahim, sebagaimana yang dilakukan pemimpin lain dalam parti - pendirian berkecuali yang cukup diplomatik dari satu segi, tetapi pada masa yang sama meletakkan bapanya dalam keadaan yang tidak begitu selesa.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List