Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata Umno boleh terus melemparkan pelbagai tuduhan kepada parti Islam itu dan rakan komponen dalam Pakatan Rakyat sambil menyifatkan ia tidak memberi sebarang kesan terhadap parti perikatan itu.
Menurut Salahuddin (gambar), PAS-PKR-DAP akan terus bergerak ke hadapan tanpa mempedulikan segala tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan Umno.
“Apa yang membanggakan saya adalah perkara-perkara yang memberangsangkan untuk parti pembangkang iaitu PAS, PKR dan DAP...ini membuktikan Pakatan Rakyat benar-benar menjadi alternatif kepada rakyat dan saingan yang begitu hebat sekali bagi Umno.
“Jadi kita gembira dengan perkembangan ini dan kita akan terus bergerak ke hadapan, merangka strategi untuk kita lebih menawan hati rakyat...saya tidak peduli apa tuduhan mereka tapi apa yang penting kita kini berada di persada tanah air yang mana Umno begitu gerun untuk menjawab setiap isu yang kita bongkarkan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, Pakatan Rakyat telah berjaya menyaingi Umno dalam pelbagai aspek walaupun terdiri daripada tiga parti yang berbeza dasar perjuangan.
“Bila Pakatan Rakyat bergerak ke arah lebih dinamik ia menunjukkan kita lebih berbilang kaum, menunjukkan kita lebih toleransi dalam mendepani isu-isu masyarakat.
“...dan sebenarnya kita sudah masuk dalam gelanggang Umno dan gerakan kita ini mengancam Umno,” katanya.
Barisan kepimpinan dan perwakilan Umno menjadikan Perhimpunan Agung Tahunan Umno 2011 sebagai platform untuk mengecam Pakatan Rakyat habis-habisan.
Bagi PAS, Salahuddin berkata tohmahan dan tuduhan telah diterima parti itu lebih 50 tahun dan ia tidak akan merobohkan kepercayaan rakyat.
“Kita sudah lali, bagi PAS kita dah lalui lebih 50 tahun...kita sudah biasa,” katanya.
sumber
0 comments:
Post a Comment