SESUNGGUHNYA, pengumuman Koh Tsu Koon untuk tidak bertanding dalam PRU13 bukanlah sesuatu yang mengejutkan.Malah, mereka yang bersikap sinis sejak awal lagi menganggap kewujudan Koh tidak lebih daripada “jenaka” dalam politik tanah air.
Begitu juga parti Gerakan yang dipimpin Koh - kekal tidak bermaya sejak dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008 – dijangka menghembus nafas terakhirnya menjelang PRU13.
Ada iktibar di sebalik pengunduran Koh dan nasib yang sedang menimpa Gerakan.
Parti ini ditubuhkan pada tahun 1968, dengan pimpinan yang berbilang kaum, malah pernah menampilkan idealismenya melalui intelektual seperti Syed Hussein Alatas. Gerakan sebagai pembangkang menawan Pulau Pinang sebelum 13 Mei 1969, namun menyertai Barisan Nasional kemudiannya.
Tokohtokoh seperti Syed Hussein Alatas, Tan Chee Khoon yang tidak merestui keputusan tersebut, memilih untuk keluar parti - menyebabkan Gerakan yang menjadikan Pulau Pinang sebagai pangkalan politiknya, semakin hilang “kepelbagaiannya.”
Bagaimanapun, imej Gerakan kurang negatif berbanding MCA, dari kaca mata masyarakat Cina.
Malah pada zaman 1980-an, pejuang pendidikan bahasa Cina yang beridealisme (termasuk Koh) menyertai Gerakan-Barisan Nasional dengan slogan “Masuk BN, Perbetulkan BN” - yang kemudiannya disindir sebagai “Masuk BN, ‘Diperbetulkan’ BN”.
Gerakan di bawah pimpinan Lim Keng Yaik selama 27 tahun semakin pudar idealismenya.
Meskipun jawatan Presiden pernah dicabar sekali-kala dalam pemilihan parti, ia tidak berlandaskan pertembungan “idealisme”, tetapi hanya perebutan kuasa semata-mata.
Pada akhir 1990-an, imej Gerakan hanya digilap dengan beberapa individu yang berpendirian tegas - misalnya Toh Kin Woon yang membantah keras ISA. Malah, Toh Kin Woon antara pemimpin BN yang berani mengunjungi Anwar Ibrahim selepas beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Memasuki abad ke-21, cemuhan, rungutan, keluhan dilemparkan terhadap Gerakan, namun tidak dipandang serius kerana pemimpinnya masih memegang kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang, selain menempah satu jawatan menteri dalam Kabinet. Ketidakpuasan ini semakin mengombak, dan akhirnya Gerakan ditenggelamkan dalam PRU12–tinggal dua kerusi Parlimen berbanding 10 pada PRU 11.
Untuk berlaku adil kepada Koh Tsu Koon dan Gerakan, parti komponen BN inilah yang paling awal untuk memberi respons positif kepada kebangkitan kuasa rakyat.
Koh dengan cepat memanggil sidang media pada malam 8 Mac 2008, menyerahkan kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang secara aman kepada DAP. Sememangnya Koh dipuji dalam hal ini, malah langkah ini dipercayai memberi isyarat kepada pimpinan BN yang lain – agar akur kepada pilihan rakyat dan tidak cuba untuk “mempertahankan kuasa sehingga berkecai tulang dan badan.”
Namun demikian, Koh tidak bangkit dari situ. Apabila kuasa berkecai, maka pemimpin muda berlari lintang-pukang menyelamatkan diri, sementara pemimpin veteran pula tinggalkan parti dalam keluhan. Bekas Timbalan Setiausaha Agung, Lee Kah Choon misalnya, keluar parti dan berkhidmat untuk kerajaan DAP-Pakatan Rakyat. Toh Kin Woon, pemimpin veteran yang berhasrat untuk bersara sebelum PRU12, memilih untuk keluar parti selepas menyatakan pendirian untuk menyokong Anwar Ibrahim dalam PRK Permatang Pauh.
Kesemua ini melemahkan semangat dalam parti. Namun, jelas Koh tidak berupaya untuk membangkitkan partinya selepas kehilangan kuasa - tongkat ali untuk kebanyakan politikus.
Beliau akhirnya terpaksa menjilat ludah dirinya untuk masuk Kabinet melalui tingkap Dewan Negara pada tahun 2009 - namun tetap tidak terdaya untuk menggembleng sokongan parti, apatah lagi rakyat.
Retorik “mengukuhkan kedudukan Cina dalam kerajaan” sudah ketinggalan zaman. Komuniti Cina yang berpendidikan tidak termakan dengan hujah perkauman ini, komuniti Cina yang tidak berpendidikan pula sekurangkurangnya mual apabila Koh dilihat tampil di depan media sebagai pengikut PM Najib Razak, atas nama Menteri KPI.
Koh boleh menabur “gula” berbentuk peruntukan kepada masyarakat Cina dengan sedikit kuasa yang ada dalam tangan, namun tidak terjawab apabila isunya menyentuh prinsip.
Misalnya, apabila anak Lim Guan Eng difitnah baru-baru ini, Koh yang cuba mengelak untuk menyatakan pendirian tegas mengutuk politik fitnah–dipanah dengan kritikan oleh masyarakat Cina. Kesemua ini memustahilkan kebangkitan Koh mahupun Gerakan.
LIM HONG SIANG
0 comments:
Post a Comment