"SAYA tenang dari mula hingga hari ini. Saya ke Makkah untuk memohon hidayah Allah, berdoa di depan Kaabah dan Raudhah. Apa yang saya boleh katakan kepada pemimpin PKR yang mengaib dan menfitnah saya… kita jumpa di Padang Masyar (hari pembalasan)."
Ucapan pedas dan tegas ketika membuka tirai Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO pagi semalam, tidak dapat melenyapkan kesedihan dan aib yang ditanggung keluarganya. Dengan muka sedikit cengkung dan matanya cuba menyembunyikan kesedihan, tapi Ketua Wanita UMNO amat lega kerana ramai ahli, teman dan sahabat terus mempamerkan semangat setia kawan yang tinggi.
"Saya masih dilanda perasaan teramat sedih, tapi selepas ucapan tadi, saya memang lega kerana (perwakilan) Wanita amat memahami apa yang saya alami," kata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Bagi ahli politik yang tidak pernah 'diserang' pembangkang secara peribadi, Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat ini hampir terduduk apabila keluarganya didakwa melakukan penyelewengan apabila diberi tanggungjawab melaksanakan projek ternakan lembu daging melalui Perbadanan Fidlot Nasional.
"Bila saya rasa sendiri (penangan pembangkang), itu membuatkan saya rasa sedih. Dia orang ini tak takut mati. Bagi saya, siapa saja buat fitnah ini, kita jumpa di padang Mahsyar," ulangnya sekali lagi.
Tapi ketika berada di hadapan Kaabah dan sujud di Raudhah, Shahrizat tidak tergamak mendoakan keburukan pada penfitnahnya, sebaliknya berdoa supaya Allah tidak mengaibkan mana-mana keluarga pemimpin pembangkang, seperti mereka mengaibkan dia.
"Saya berdoa janganlah saya atau mana-mana pihak mengaibkan keluarga (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, keluarga Rafizi, keluarga Zuraida (Kamaruddin) dan keluarga Saifuddin (Nasution), sebagaimana mereka mengaibkan saya.
"Saya juga berdoa kepada Allah jangan menimpa musibah dan aib seperti ini ke atas ketiga-tiga keluarga ini. Walaupun diaibkan, saya masih tidak tergamak dan tidak mahu mentohmah mereka," katanya.
(Jamhariah Jaafar, Berita Harian)
0 comments:
Post a Comment