KUALA TERENGGANU - Seorang anak sanggup mengugut akan membakar rumah orang tuanya gara-gara keengganan ayahnya membayar wang ganti rugi kerana memukulnya dalam satu kejadian di Kampung Sungai Rengas, di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian itu, suspek yang berusia 25 tahun turut mengugut akan membuat laporan polis berhubung tindakan ayahnya yang memukul dirinya sehingga terpaksa menerima rawatan sekiranya tidak membayar wang berjumlah RM2,000 sebagai ganti rugi.
Difahamkan, pada malam sebelum kejadian, suspek yang tidak bekerja itu meminta RM50 daripada ayahnya yang merupakan seorang pesara kerajaan.
Bagaimanapun, ayahnya enggan memberikan wang yang diminta sehingga berlaku pertengkaran mulut.
Disebabkan tidak tahan mendengar pertelingkahan itu, salah seorang daripada kakak suspek yang kebetulan berada di dalam rumah berkenaan memberikan RM10 dengan harapan suspek keluar dari rumah bagi menenangkan keadaan.
Namun, ayahnya yang berang melihat anak perempuannya itu memberikan wang kepada suspek terus bertindak memukul suspek sehingga mendatangkan kecederaan kecil.
Suspek dihantar oleh kakaknya untuk menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini sebagai pesakit luar.
Pada keesokan harinya, iaitu awal pagi kelmarin, suspek pulang ke rumahnya untuk mengambil semua pakaian kononnya merajuk dan tidak mahu tinggal bersama keluarganya lagi.
Sebelum keluar dari rumah tersebut, suspek sempat meminta wang ganti rugi berjumlah RM2,000 daripada ayahnya kerana telah mencederakannya namun disebabkan permintaan itu tidak diendahkan, suspek naik ‘hantu’ dan mengamuk akan membakar rumah tersebut serta akan membuat laporan polis berhubung tindakan ayahnya itu.
Bimbang perkara yang tidak diingini berlaku, ayah suspek yang berusia 60-an telah membuat laporan polis dan suspek ditahan ketika sedang menumpang tidur di rumah salah seorang kakaknya yang tinggal berhampiran pada hari sama, kira- kira jam 1 tengah hari.
Semalam, suspek telah dihadapkan ke Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Rusli Ahmad telah mengeluarkan perintah tahanan reman selama empat hari bermula semalam.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan menerima laporan kejadian.
Katanya, suspek kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
0 comments:
Post a Comment